PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata kerajaan sedia meluluskan peruntukan tambahan untuk menaik
taraf kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu dan
Semporna di Sabah baru-baru ini, kerajaan akan melakukan penambahbaikan
dari segi peralatan, latihan, kemahiran dan perisikan ATM pada
keseluruhannya.
"Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat dalam soal kedaulatan wilayah dan keselamatan negara.
"Kita perlu melakukan apa sahaja demi masa depan negara," katanya
pada majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri bersama Pesara
Pegawai-Pegawai Tinggi ATM di Seri Perdana, Sabtu.
Lebih 200 pegawai tinggi ATM menghadiri majlis itu.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Sementara itu, Najib berkata Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM),
yang mengambil kira model Rajang Area Security Command (RASCOM) di
Sarawak, didapati amat berkesan untuk menghadapi cabaran terkini.
"Saya juga meminta supaya kabin-kabin itu dibuat secepat mungkin tanpa perlu tunggu bangunan kekal.
"Kita mula secepat mungkin, dan kabin-kabin itu perlu selesa agar
mereka boleh bertugas secara selesa, dan ia akan memberi keyakinan
kepada rakyat Sabah timur, khususnya usaha kerajaan menangani ancaman
terkini.
"Butiran lanjut mengenai struktur ESSCOM dijangka diumum akhir minggu
depan. Mudah-mudahan kita dapat mengadakan perbincangan dengan kerajaan
negeri Sabah," katanya.
Najib juga meminta Kementerian Pertahanan melantik pegawai paling
sesuai mengetuai kumpulan dan anggota tentera untuk berkhidmat di
ESSCOM.
ESSCOM merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu
di Sabah.Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa kaum Suluk di
Sabah tidak dikasari.
"Kita perlu asingkan orang Suluk tempatan dan Suluk yang masuk dalam
kumpulan penceroboh, kerana Suluk tempatan mereka ini baik-baik belaka.
Kita tidak boleh longgokkan mereka sebagai ancaman kepada negara kita.
"Kita mesti lakukan kaedah membina keyakinan supaya mereka faham ini adalah untuk berdepan dengan kumpulan pengganas," katanya. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.