PAPAR: Kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan
kepada mana-mana pihak untuk memberikan kad pengenalan (IC) atau
kewarganegaraan kepada pendatang asing yang tidak layak di Sabah, kata
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.
Justeru, beliau menegaskan rakyat Sabah tidak boleh mempersalahkan
kerajaan semasa pentadbirannya kerana penyelewengan seumpama itu
dilakukan oleh pihak tertentu untuk kepentingan diri.
"Saya sedar isu (Projek IC) ini jadi perhatian rakyat Sabah. Saya ada
diberitahu ada yang tak layak...baru sampai hari ini, dah dapat IC.
"Ini bukan arahan kita, bukan arahan kerajaan...ini adalah
penyelewengan pegawai di tempat itu kerana kepentingan lain," katanya
kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena program 'Bicara
Minda bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' di Dewan Masyarakat Papar, dekat,
sini Sabtu.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas trend kempen
pembangkang yang kini lantang memainkan isu 'Projek IC' bagi meraih
sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
Beliau memperjelaskan bahawa ramai orang yang bukan berasal dari
negara ini diberi hak kerakyatan kerana mereka telah tinggal lama di
negara ini serta menguasai bahasa kebangsaan.
"Ramai daripada kita berasal dari negara lain, misalnya dari China,
Arab dan India dan kesemua mereka duduk lama di sini dan setia kepada
negara ini. Kita beri kerakyatan kalau mereka menepati syarat selepas
proses ujian," katanya.
Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada kerajaan mampu meningkatkan
royaliti minyak daripada lima peratus sekarang kepada Sabah, Dr
Mahathir, 87, berkata amalan kerajaan kini lebih menjurus kepada
perkongsian kekayaan untuk semua rakyat di negara ini.
Sebelum ini, pakatan pembangkang dalam manifesto Pilihan Raya Umum
(PRU)ke-13 menjanjikan 20 peratus kadar royalti minyak kepada rakyat
Sabah.
"Kalau mereka (pembangkang) nak bagi (lebih tinggi)...bagilah 100
peratus kepada Sabah," katanya yang menjadi perdana menteri selama 22
tahun sejak 1981 sebelum berundur pada 2003.
Mengenai penubuhan kawasan keselamatan khas, Eastern Sabah Security
Command (ESSCOM) di Sabah ekoran kes pencerobohan pengganas di Lahad
Datu, Dr Mahathir berkata langkah itu wajar dan tepat pada masanya
memandang kini terdapat ancaman keselamatan yang ketara di perairan
negara.
Beliau menyifatkan tindakan pengganas Sulu menceroboh dan membunuh
sembilan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah
pada awal bulan ini, sebagai tidak bijak. BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.