Ops Daulat Tetap Diteruskan Sehingga Saki Baki Pengganas Sulu Dihapuskan

pengganas-sulu-dihapuskan

KUALA LUMPUR: Operasi Daulat untuk memburu saki baki pengganas militan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Februari lepas akan diteruskan sehingga semua kawasan di daerah berkenaan bersih daripada penceroboh dari selatan Filipina itu.

Yakin operasi itu boleh diselesaikan dalam masa terdekat, pasukan keselamatan percaya kini hanya tinggal sekitar 50 orang lagi saki baki kumpulan militan di kawasan berkenaan.

Anggaran bilangan musuh itu dibuat berdasarkan jumlah yang ditembak mati, ditahan dan lari ke selatan Filipina.

"Kami akan cuba selesaikan secepat mungkin," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatan tidak meletak 'garis masa' untuk operasi itu.

Selepas 12 hari Operasi Daulat, Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi kubu kumpulan penceroboh kini bersih daripada pengganas, dan pasukan keselamatan percaya usaha membersih Kampung Tanjung Batu akan dapat diselesaikan pada Ahad.

Hamza berkata penduduk kampung terlibat akan dibenar pulang selepas pasukan keselamatan membersihkan kawasan itu daripada jerangkap samar dan pelbagai ancaman lain serta berbincang dengan ketua masyarakat.

"Kami akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya.

Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang ini, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan.

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh pesisir pantai Lahad Datu sejak 12 Februari lepas, gagal.

Dalam tempoh itu, 61 musuh ditembak mati dan 27 daripada mayat pengganas telah dibawa keluar dari zon merah manakala 104 ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, dan 232 ditahan kerana berada di kawasan larangan.

Sembilan anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan seorang tentera terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu.

Seorang lagi anggota tentera terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan trak tentera yang dalam konvoi untuk Operasi Daulat. BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.