1MDB: Laporan Berita Berdasarkan Sumber Diragui Boleh Cetus Kegelisahan Rakyat

the-edge-kdn

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa laporan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah berdasarkan sumber yang diragui.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri juga berkata, laporan oleh dua penerbitan itu bersifat provokasi, mencetuskan kontroversi dan berkecenderungan untuk mempengaruhi pembaca.

"Berikutan laporan provokasi mengenai 1MDB dan bahaya yang mungkin timbul daripada laporan itu, menteri menjelaskan adalah penting untuk menyiasat sumber maklumat yang diterima oleh pemohon.

"Beliau perlu pastikan bahawa dalam menerbitkan artikel mengenai 1MDB, pemohon bergantung pada sumber-sumber yang sahih. Oleh kerana 1MDB telah menarik banyak kritikan dan komen negatif, perintah penggantungan dibuat demi kepentingan awam untuk mencegah peningkatan rasa khuatir dalam kalangan orang awam, terutamanya sentimen ini telah didorong oleh berita berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang diragui. Keadaan ini mungkin akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya dalam hujahan beliau di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.

Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran untuk memohon semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri.

Loke juga berkata laporan The Edge Communications Sdn Bhd mengenai 1MDB seolah-olah menunjukkan bahawa hanya terdapat satu kesimpulan iaitu sama ada berlaku salah pengurusan.
   
"Menteri dengan itu, bertindak wajar apabila membuat keputusan untuk menggantungnya. Orang ramai berhak untuk tahu hasil siasatan yang telah pun bermula, dan bukannya membuat kesimpulan awal dan tidak matang berdasarkan apa yang dibaca dalam laporan provokasi berhubung isu itu," katanya.
   
Lagipun, katanya pemohon telah gagal menjawab notis yang meminta keterangan tentang sumber kepada maklumat diperoleh pemohon bagi artikelnya mengenai 1MDB.

Petikan dari BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.