Masalah Pemandu Teksi Kajang Selesai Jika Undi Saya - Mei Fun


KAJANG - Calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun memberi jaminan akan membantu menyelesaikan pelbagai kesulitan yang dihadapi golongan pemandu teksi di Kajang sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Beliau berkata, beberapa cadangan yang dikemukakan untuk memperbaiki kebajikan pemandu teksi di bandar itu akan diketengahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Pengangkutan untuk dibincangkan.
  
"Isu kebajikan pemandu teksi tidak boleh diabaikan kerana selain terpaksa bekerja tidak kira masa dan hasil pendapatan yang tidak menentu, mereka juga berisiko tinggi berhadapan dengan kemalangan jalan raya, oleh itu kebajikan mereka perlu dibela demi memastikan keselamatan mereka terjamin," katanya.
  
Mei Fun yang ditemui pemberita ketika membuat lawatan ke Perhentian Teksi Kajang di sini, berkata antara isu yang dibangkitkan golongan berkenaan termasuk masalah tempat letak kereta di stesen Komuter KTM, insurans kereta sewa serta skim perlindungan khas Perkeso untuk pemandu teksi.

"Saya juga bersetuju untuk menjadi penaung bagi persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Hulu Langat jika terpilih menjadi anggota Dun kawasan ini selepas pilihan raya kecil
nanti," katanya.

Selain perhentian teksi, Mei Fun turut melawat kawasan letak kereta di stesen Komuter Kajang bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung aduan yang diutarakan pemandu teksi kawasan berkenaan.
  
Turut hadir Presiden Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Hulu Langat, Karnail Singh.
  
Dalam pada itu Mei Fun membidas tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja merosakkan poster kempen BN dan Pakatan Rakyat di sekitar kawasan Dun Kajang kerana ia melambangkan amalan politik tidak sihat.

"Itu taktik kotor namanya. Tidak kira sama ada poster itu BN punya ataupun Pakatan Rakyat, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kami mengutamakan kaedah berkempen secara sihat," katanya.
  
Media akhbar berbahasa Mandarin semalam melaporkan beberapa poster dan bunting calon pilihan raya kecil Dun Kajang termasuk Mei Fun dan Pengerusi PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilempar cat merah dan dirosakkan oleh golongan tidak dikenali.
  
Mengulas tindakan beberapa pihak yang gemar melabelkan beliau dengan gelaran buruk, Mei Fun berkata ia tidak sekali-kali menjejaskan tekadnya untuk berkhidmat kepada rakyat.
  
Katanya tohmahan yang dilakukan oleh pakatan rakyat khususnya hanya mahu memburuk-burukkan imejnya dan tidak menilai beliau dari segi kredibiliti dan kebolehannya berkhidmat sebagai bekas anggota Parlimen sebelum ini.

"Mereka tidak tahu rekod prestasi saya sebelum ini, bagaimana saya menyelesaikan masalah penduduk semasa saya berkhidmat di Petaling Jaya Utara (PJU).
  
"Walaupun mereka sengaja mahu memburuk-burukkan imej saya namun ia tidak  menghalang saya untuk terus melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin kawasan itu (PJU) dan banyak masalah telah berjaya diselesaikan," katanya. - Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.