Kadar Tarif Air Selangor Akan Naik Jika Tiada Keuntungan

khalid-ibrahim-tarif-air
SHAH ALAM - Keperluan menaikkan kadar tarif air di Selangor akan bergantung kepada keuntungan diperolehi hasil penstrukturan semula industri air di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri dapat mengurangkan bayaran perkhidmatan pukal penukaran air mentah kepada air terawat, tiada keperluan untuk menaikkan kadar tarif air.

"Sesetengah syarikat konsesi (ketika ini) dapat pulangan lebih 35 peratus (perkhidmatan pukal penukaran air) jadi kalau kita kurangkan kepada enam ke tujuh peratus iaitu harga munasabah, jadi tidak perlu naikkan tarif air.

"Bagaimanapun ikut jangkaan kita ada juga keperluan (naikkan tarif air) masa hadapan tapi ia mesti ambil kira kepentingan pengguna...pengguna miskin tidak akan dikenakan tarif tinggi tetapi penggunaan air untuk komersial dikenakan harga berpatutan," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid menjawab soalan tambahan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang ingin tahu sama ada struktur tarif air akan berubah selepas penstrukturan semula industri air Selangor dilakukan.

Menjawab pertanyaan Lau berhubung janji kerajaan negeri untuk memberikan saham air kepada rakyat Selangor, Abdul Khalid berkata pelaksanaan itu perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Saham itu boleh diberi kepada rakyat Selangor sama ada secara perkapita atau melalui akaun pengguna. Bagaimanapun perkara ini belum dapat dimantapkan kerana kita terpaksa mendapat kelulusan daripada SC dari segi pelaksanaannya," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Dr A.Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) mengenai Perjanjian Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri air di Selangor, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan cuba menyelesaikan perkara itu tanpa melibatkan politik bagi memastikan rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air terbaik dan mencukupi.

Melalui MoU ditandatangani pada 26 Feb lepas, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran kepada pihak kerajaan pusat untuk merancang pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) di Selangor.

Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Empat syarikat berkenaan ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash). - Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.