Azizan Razak Perlu 'Pembantu' Demi Kelancaran Urusan Pentadbiran

Keadaan kesihatan MB Kedah yang tidak menentu
Kedudukan Datuk Seri Azizan Razak sebagai Menteri Besar Kedah sekali lagi dipertikai dan puncanya kini, tidak lain dan tidak bukan disebabkan keadaan kesihatan beliau yang sering terjejas.

Ini bukan kali pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu berdepan masalah kesihatan. Namun, senario sejak kebelakangan ini di Kedah agak memuncak, terutama apabila timbul desakan diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah.

Mungkin desakan yang dibangkitkan Pemuda GERAKAN Kedah itu dilihat Azizan sebagai agenda politik. Namun, mengambil kira kedudukan beliau yang diandaikan tidak lagi ‘kuat’ untuk mengepalai teraju kepemimpinan negeri, pemikiran berunsur negatif itu wajar diketepikan.

Sebaliknya, Azizan yang kini mencecah usia 70-an perlu menilai desakan itu dari sudut positif. Rakyat risau apabila pemimpin nombor satu negeri sering ‘hilang’ menye-babkan urusan penting apatah lagi berkaitan masalah rakyat, tertangguh.

Difahamkan, Azizan sejak minggu terakhir Ramadan lalu gagal menghadiri beberapa majlis rasmi termasuk sambutan Aidilfitri Bersama Menteri Besar di Seri Mentaloon pada 25 Ogos lalu, selepas disahkan mengalami jangkitan akibat keracunan makanan.

Difahamkan, soal kesihatan Azizan bukan perkara baru, malah ia dikatakan semakin merosot sejak beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu akibat masalah jantung tersumbat.

Berbalik kepada soal jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah, desakan itu pastinya memberi tamparan besar kepada Azizan, terutama dengan gambaran tidak rasmi diberikan seolah-olah mendesak beliau supaya berundur daripada jawatan berkenaan. Namun, mengambil kira kenyataan Azizan beliau sedia berundur dan memberi laluan kepada calon muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 , desakan itu mungkin tidak memberi apa-apa kesan kepada Azizan.

Apa pun, persoalannya kini jika jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan, siapakah calon yang bakal diletakkan Azizan untuk mengisi kedudukan nombor dua itu? Malah, penulis percaya Azizan pening memikirkan kemungkinan itu, terutama selepas mengambil kira 'perang dalaman’ dilancarkan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, selaku orang kanannya pentadbiran negeri.

Dalam mengambil kira pemilihan calon itu, pertimbangan sewajarnya penting kerana ia seolah-oleh memberi restu kepada individu berkenaan untuk jawatan Menteri Besar selepas Azizan berundur. Itupun jika PAS kekal memerintah selepas PRU-13.

Justeru, pastinya pemimpin kanan PAS negeri termasuk Phahrolrazi galak mencatur strategi ke arah itu. Cuma, masing-masing mengelak bertindak secara terbuka dengan membiarkan parti lawan bersuara bagi pihak mereka.

Apa pun, populariti Phahrolrazi pada mata akar umbi PAS kini pastinya sedikit tercalar dengan tindakannya yang mengepalai jentera serangan terhadap pentadbiran Azizan awal tahun ini.

Namun, hasil kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini memberi respon sebaliknya apabila populariti Phahrolrazi masih berada pada tangga kedua selepas Azizan, diikuti dua lagi calon yang dianggap berpotensi dan memiliki kelebihan di mata Azizan iaitu ADUN Anak Bukit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Perumahan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Tokai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, masing-masing di tangga ketiga dan keempat.

Apa pun, tindakan drastik perlu dilakukan kerajaan PAS Kedah dalam usaha mewujudkan jawatan nombor dua itu kerana ia memerlukan pindaan dalam Perlembagaan negeri.

Malah, kesudian Barisan Nasional menyokong diwujudkan jawatan berkenaan jika cadangan itu dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu diambil kira. Terpulang kepada Azizan untuk menentukannya.

Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.