Dalam undang-undang keluarga Islam, ada satu topik yang agak sulit
untuk diolah, tetapi amat penting untuk ditangani iaitu hak hadanah
atau pemeliharaan anak lelaki atau perempuan masih kecil yang belum
boleh berdikari.
Pemeliharaan ini memiliki maksud yang menyeluruh iaitu bagaimana menjaga kepentingan anak, melindunginya daripada segala perkara membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya dapat berkembang dan membantunya mengatasi persoalan hidup akan dihadapinya.
Pemeliharaan ini memiliki maksud yang menyeluruh iaitu bagaimana menjaga kepentingan anak, melindunginya daripada segala perkara membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya dapat berkembang dan membantunya mengatasi persoalan hidup akan dihadapinya.
Anak perlukan asuhan, kasih sayang
Ini bermakna, hukum memelihara anak adalah wajib bagi ibu bapa kerana anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika melalui proses pertumbuhan hidupnya.
Dalam Islam, ibu diiktiraf sebagai lebih layak untuk memelihara dan mengasuh anak, lebih-lebih lagi jika berlaku perceraian di antara suami isteri.
Ia berdasarkan hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar: “Bahawasanya seseorang perempuan datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutku yang mengandungkannya, susuku minumannya dan ribaanku rumahnya, tetapi bapanya menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku.” Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda: “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak untuk memelihara anak berbanding bapa. Islam melebihkan wanita dalam soal hadanah kerana ibu secara tabii lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidik dan sabar mengasuh berbanding bapa.
Timbul persoalan di sini, siapa yang lebih berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai itu, salah seorang daripadanya adalah mualaf dan selepas bercerai, ibu bapa yang mualaf tadi kembali kepada agama asalnya atau murtad.
Bagi menjamin kebajikan dan keselamatan anak yang belum mampu berdikari, Islam menetapkan beberapa ciri yang perlu ada pada seseorang penjaga dan pengasuh. Antaranya ialah Islam, merdeka dan bukan hamba, sempurna akal dan adil.
Penjaga atau pengasuh ini pula berkeupayaan memberi didikan kepada anak di bawah jagaannya iaitu menjaga kesihatan dan akhlaknya serta bersifat amanah di samping memiliki akhlak atau budi pekerti luhur. Orang yang tidak amanah, tidak layak memberi didikan kepada anak jagaan bagi membentuk akhlak yang baik.
Hukum syarak tetapkan penjaga mesti beragama Islam
Hukum syarak turut menetapkan mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mesti seorang Islam kerana jika yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.
Di sini, dapat dilihat menjaga agama dan akidah anak yang belum mampu berdikari atau masih mumaiyiz diberi keutamaan.
Hak hadanah pada prinsipnya adalah milik si ibu, tetapi jika dia bukan beragama Islam, maka matlamat hadanah tidak tercapai.
Dalam hal ini, jika berpandukan kepada syarat utama hadanah iaitu hak kepada ibu dan menjaga kebajikan anak, ulama meletakkan syarat lain untuk mencapai matlamat hadanah.
Antaranya ialah syarat penting penjaga anak adalah perlu beragama Islam. Maka, jika diteliti konsep hadanah menurut Islam, jelas sekali hak hadanah diberi kepada pihak yang memenuhi syarat ditetapkan.
Perlu difahami dan diyakini bahawa hadanah adalah masalah dalam bab wali dan Allah SWT tidak membenarkan orang Mukmin berada di bawah penjagaan orang kafir seperti firman Allah bermaksud: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman.” (Surah an-Nisa ayat ke-41)
Di sisi Islam, orang kafir tidak layak mendapat hak hadanah kerana ia dilihat memudaratkan akidah, sahsiah dan agama anak yang belum mumaiyiz kerana ditakuti anak itu akan terpengaruh dengan agama dianuti bukan Islam.
Walaupun begitu, umat Islam masih perlu merujuk kepada pendirian dan keputusan ulama berdasarkan mazhab dipegang.
Dalam hal ini, ulama bermazhab Imam Syafie dan Hambali meletakkan keputusan hak penjagaan mestilah diserahkan kepada orang Islam dan orang kafir tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak.
Ulama bermazhab Imam Hanafi dan sebahagian ulama Imam Maliki pula tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan, asalkan penjaga tadi tidak mempengaruhi pemikiran anak untuk cenderung kepada agama asalnya.
Ini bermakna jika penjaga (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (bukan Muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.
Ini membuktikan bahawa Islam bukanlah agama bersikap kuku besi, sebaliknya lebih mengutamakan keadilan kepada mereka yang berhak.
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.