KUALA LUMPUR: Peningkatan kos pembinaan lapangan
terbang tambang murah KLIA2 kepada RM4 bilion berbanding RM2 bilion
sebelum ini, antaranya untuk memenuhi permintaan syarikat tambang murah
AirAsia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata
AirAsia sebagai operator terbesar KLIA2 antara lain meminta penambahan
keluasan dan peningkatan infrastruktur termasuk memanjang dan melebarkan
landasan, menambah bilangan pintu ketibaan dan pelepasan, pengendalian
bagasi automatik selain diadakan 'premium airport lounge'.
Syarikat itu juga mahu hotel miliknya iaitu Tune Hotel dan ibu pejabatnya didirikan di dalam kawasan lapangan terbang itu.
"Banyak perkara yang kita tampung permintaan daripada AirAsia yang
saya kira macam 'anak emas' untuk tingkatkan spesifikasi (di lapangan
terbang itu), dan ini menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan.
"Permintaan AirAsia itu perlu diambil kira kerana ia berdasarkan
keperluan baru yang wujud selain perkembangan drastik industri
penerbangan negara," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung
kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini, Rabu.
Abdul Aziz berkata antara penambahbaikan telah dibuat termasuk
memanjangkan landasan daripada 2.5km ke 4.4km dan dilebarkan kepada
2.2km, bertujuan menampung pesawat yang lebih besar seperti Airbus A380.
Ia juga melibatkan penambahan keluasan terminal daripada 150,000
meter persegi kepada 250,000 meter persegi dan jumlah pintu pelepasan
dan ketibaan kepada 68 berbanding 55 dalam perancangan asal.
Penambahbaikan itu juga bertujuan untuk menampung pertambahan kapasiti penumpang kepada 45 juta setahun.
Jawapan Abdul Aziz menyebabkan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan)
bangkit mempersoalkan apakah kelebihan AirAsia sehingga diberi pelbagai
keistimewaan.
"Kenapa kerajaan asyik layan AirAsia, siapa AirAsia sehingga perlu diberi keistimewaan begitu?" soalnya.
Menjawab soalan Bung Moktar, Abdul Aziz berkata kebanyakan permintaan
syarikat itu dipenuhi kerana ia berdasarkan 'commercial logic' dan
sebagai operator terbesar, pandangan syarikat itu harus diambil kira.
Kepada jawapan itu Bung Moktar sekali lagi mencelah: "Bukan kerana dia
buaya besar?" katanya yang mencetuskan ketawa anggota Parlimen lain.
Terdahulu Abdul Aziz berkata kos pembinaan KLIA2 masih dianggap
termurah berbanding di negara-negara lain kerana ia hanya melibatkan
RM89 bagi setiap penumpang.
"Di Jerman, kos pembinaan bagi setiap penumpang ialah pada kadar
RM478 dan melibatkan pembinaan selama enam tahun walaupun kapasiti
terminalnya sama dengan KLIA2.
"Begitu juga pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong yang
melibatkan kos RM2,143 (seorang penumpang) dan Lapangan Terbang Changi,
di Singapura membabitkan RM2,906 bagi seorang penumpang. Jadi dalam
banyak-banyak pembinaan lapangan terbang di dunia, terminal KLIA2 antara
yang termurah dan paling cepat dibina setakat ini," katanya.
Persidangan dewan bersambung, Khamis. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.