Sucikan Hati Yang Kotor Dengan Membaca al-Quran

suci-hati-baca-quran

Sedar atau tidak, kita jarang menyemak tahap pencemaran hati hingga lupa pencemaran hati lebih besar bencana daripada pencemaran udara. Justeru ambillah masa seminit dua dalam sehari untuk audit tahap pencemaran yang dialami hati kita setiap hari.

Apabila kita sedar betapa tercemarnya hati akibat dosa yang menggunung, nescaya kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyucikan jerebu hati yang melanda diri. Seperti mana kita mengharap hujan menghapuskan jerebu yang sedang melanda ruang udara negara.
 
Antara amalan yang boleh dilakukan untuk menyucikan jerebu hati adalah memperbanyakkan membaca al-Quran dan bertadabur. Membaca al-Quran tanpa mentadabbur maknanya sukar untuk mendatangkan keinsafan pada manusia.

Memahami serta mendalami setiap ayat al-Quran, peringatan Allah di dalamnya akan berupaya menyucikan hati manusia.

Titik hitam lekat di hati

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan suatu dosa, maka lekatlah satu titik hitam di hatinya. Jika ia bertaubat dan meminta ampun, maka hatinya kembali menjadi bersih, jika (tidak bertaubat dan beristighfar, bahkan) ia menambah dosa, maka bertambahlah titik hitam itu, sehingga menutup hatinya. Demikianlah titik hitam yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai ruang (kegelapan) dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesekali tidaklah begitu, bahkan apa yang mereka perbuat itu telah menggelapkan hati mereka.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Tangisan adalah satu perkara yang sukar bagi manusia terutama yang sering alpa dengan keindahan dunia. Sering kali air mata dibazirkan untuk perkara bersifat keduniaan semata-mata. Hendak menangis mengenang dosa sangatlah payah.

Namun, sukar bukan bererti mustahil, cuma perlukan usaha serta sedikit paksaan. Antara caranya adalah mencari suasana yang sesuai seperti bangun tengah malam. Pejamkan mata sambil mengingati dosa pernah dilakukan.

Nabi SAW mengingatkan, antara cara membersihkan hati adalah dengan membaca al-Quran dan memperbanyakkan mengingati mati. Hadirkan diri ke masjid untuk solat jenazah apabila berlaku kematian.

Usung keranda ke kubur

Andai mempunyai masa terluang, ringankan tulang untuk membantu mengusung keranda dan ikut ke tanah perkuburan. Lihatlah bagaimana jenazah dimasuk ke dalam liang lahad. Amalan ini mampu mematikan keseronokan berlebihan kita kepada dunia lantas membersihkan hati yang tercemar.

Hadis al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asy'ari, “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Berkawan dengan orang soleh mampu mendekatkan diri kita dengan Allah. Andai kita bimbang dengan jerebu yang melanda ruang udara negara, maka kita juga perlu bimbang dengan ‘jerebu’ yang melanda hati kita. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.
Share on Google Plus

About Unknown

1 comments:

  1. Al Quran adalah roh dan cahaya bg org beriman (rujuk As Syura 52), mk perbnykkan membaca dan mentadabburnya, yg tanpanya seumpama seorg yg tiada roh (mati) dan tiada bercahaya mk berada dlm kegelapan.
    Maaf, sedikit tambahan, luar topik. Lailatul Qadr, mlm termulia dr sekelian mlm, lbh baik dr seribu bulan, salah satu mlm ganjil dr 10 mlm akhir Ramadhan, cuba perhatikan tanda tandanya mlm ini (mlm 23 Ramadhan) dan awal pg esok (tp kalau esok, dah terlepas). Perbnykkan amalan dgn solat, bacaan dan tadabbur Al Quran, zikrullah, jauhkan berbuat dosa, dan bnykkan berdoa agar selamat dr kesesatan, diampuni, dirahmati dan diredhai, diperteguhkan iman dan taqwa, diberi kebaikan yg bnyk dunia dan Akhirat, terjauh dr segala azab dan bencana dunia dan Akhirat. Jgn dilupa juga dua ibubapa, semua ahli keluarga, sanak saudara, jiran, kawan dan rakan, serta seluruh umat Islam sekeliannya, InsyaAllah !

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.