Pertahankan Maruah Negara Adalah Kewajipan Kita Semua

pertahan-maruah-negara

Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai.” (Surah Al-Anfal, ayat 60)

Kekuatan pertahanan

Kekuatan pertahanan merujuk kepada langkah serta tindakan yang diambil untuk mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara daripada ancaman musuh. Kekuatan pertahanan juga merujuk kekuatan mental, ketabahan dan kecekalan mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Allah SWT berfirman: “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 194)

Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Riwayat An-Nasa’ie)

Kewajipan terhadap negara

Setiap daripada kita ada kewajipan terhadap negara. Mereka yang ingin menjaga maruah negara mestilah mendapat sanjungan tinggi. Setiap daripada diri kita dituntut menyayangi negara dan tanah air, apalagi mempertahankan tanah air jika diserang atau diceroboh musuh.

Kita berbangga dengan semangat juang dan pengorbanan ditunjukkan anggota keselamatan yang bermati-matian mempertahankan maruah serta kedaulatan negara.

Isu keselamatan dan ketenteraan sepatutnya dikaitkan dengan perintah agama. Justeru, setiap orang semestinya berasa bertanggungjawab mempertahan tanah air dan tidak timbul pelbagai tanggapan negatif terhadap isu pertahanan dan soal keselamatan negara secara keseluruhannya.

Umat Islam perlu tahu apa itu soal maruah dan kedaulatan negara supaya kita sama-sama dapat menjaga, menghormati, mempertahankan dan memperjuangkannya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat.

Pasukan keselamatan adalah maqassid syariah bertujuan memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. Matlamat penubuhan pasukan keselamatan untuk menjaga dan memelihara keamanan negara.

Keamanan adalah anugerah Tuhan dan nikmat yang tinggi nilainya. Semua peringkat masyarakat amat mencintai keamanan dan mengharapkan segala kekacauan dan pencerobohan akan berakhir.

Allah SWT berfirman: “Dan Allah memberikan satu misalan; sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Keamanan adalah asas utama dalam menegakkan agama Allah SWT dan mengimarahkan sesebuah negara. Perlu kita insafi betapa rugi dan malangnya negara yang dilanda kekacauan dan persengketaan.

Tolak gerakan ganggu keamanan

Islam menolak keras gerakan yang mengganggu keamanan serta keharmonian hidup masyarakat termasuk dengan bertindak terhadap golongan yang bertindak menceroboh dan penentangan secara bersenjata.

Ancaman daripada pencerobohan membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sewajarnya kita menghargai pihak keselamatan yang berkorban untuk memelihara keamanan dan keselamatan awam.

Bersamalah berdoa pejuang yang terkorban kerana mempertahankan negara beroleh rahmat dan kedudukan baik di sisi Allah. Sesungguhnya mereka berkorban untuk kesejahteraan ummah dan keamanan negara. Betapa besarnya pengorbanan mereka.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.