PUTRAJAYA: Dua beradik B. Reshina, 18, dan B. Dinesh Kumar,
26, yang tercicir daripada mendapat MyKad hanya diperalat menyertai
tunjuk perasaan tanpa mengetahui bahawa pembangkang tidak pernah
membantu mereka memohon dokumen pengenalan diri.
Perkara itu didedah Perunding Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan
Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF) Datuk Siva Subramaniam,
selepas majlis penyerahan MyKad kepada dua beradik itu oleh Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di sini, Jumaat.
Menurut Siva, dua beradik itu menyertai demonstrasi dengan harapan
akan mendapat kewarganegaraan, tetapi hakikat adalah sebaliknya kerana
pembangkang tidak pernah membantu mereka mengemukakan permohonan.
"Setelah berurusan terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kes
mereka berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja. Jadi saya
minta pihak berkenaan tidak memperalat kaum India lagi," katanya.
Reshina sebelum ini pernah menjadi kontroversi apabila pembangkang
mendakwa gadis itu berdepan masalah meneruskan persekolahan kerana
status kewarganegaraannya, dan dijadikan alat untuk mengadakan
demonstrasi di Jabatan Perdana Menteri pada Mei tahun lepas.
Ketika ditemui pemberita di sini, Reshina berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya mendapatkan MyKad.
"Sebelum ini saya agak sedih kerana terpaksa menduduki Sijil
Pelajaran Malaysia dengan menggunakan status warga asing. Dengan adanya
MyKad ia akan memudahkan saya mengejar impian untuk melanjutkan
pelajaran," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin ketika bercakap kepada pemberita selepas
majlis itu, berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyelesaikan 62,604
kes permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sejak 1997 hingga 2009,
dan 44 peratus daripadanya mendapat kelulusan untuk hak kewarganegaraan.
Selain itu, kementerian juga berjaya menyelesaikan 109,044 permohonan
daftar lewat kelahiran yang tertunggak sejak 2005 hingga 2009.
Hishammuddin berkata kementerian akan mengambil beberapa inisiatif
untuk memudahkan proses dan permohonan berkaitan kewarganegaraan dan
daftar lewat, termasuk mempergiat program turun padang terutama di
Sabah, Sarawak, kawasan Orang Asli dan Siam serta program khas untuk
Orang Kurang Upaya (OKU). BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.