Mayat Terseksa Dalam Kubur Kerana Ratapan Manusia Yang Masih Hidup

Mengoyak-ngoyak baju, berteriak seperti teriakan jahiliah perlu dielak

Setiap hati akan berasa sedih dan duka apabila berpisah dengan orang yang paling dicintai baik suami, anak, ibu, bapa atau saudara-mara. Sesungguhnya, perasaan sedih adalah satu fitrah dalam diri manusia.
 
Ketika Ibrahim, putera Rasulullah SAW meninggal dunia, Baginda mendekati Ibrahim yang sudah terbujur kaku, lalu memeluk dan menciumnya. Air mata Rasulullah pun berlinangan. Abdulrahman bin Auf yang melihat keadaan itu bertanya Rasulullah: “Apakah engkau menangis, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Ibn Auf. Titisan air mata adalah satu rahmat.”
 
Maka air mata Baginda pun terus menitis hingga akhirnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata pasti akan menitiskan air mata, sedangkan hati pun bersedih. Kita tidak boleh berkata kecuali yang diredai oleh Allah. Dan kami benar-benar sedih atas kepergian Ibrahim.” (Riwayat Muttafakun alaih)
 
Larangan meratap

Tidak diragukan lagi bahawa tangisan Rasulullah SAW atas kematian puteranya itu adalah bukti bahawa dibolehkan menangis atas kematian seseorang dengan syarat tidak disertai dengan ratapan dan memukul diri sendiri kerana itu akan menyebabkan diazabnya orang yang meninggal.

Sesungguhnya adalah tidak wajar jika soal mati ini dihadapi secara berlebih-lebihan seperti begitu mengejutkan hati hingga mengganggu perasaan, menyebabkan berlaku perubahan sikap yang membawa kepada pengsan, lupa ingatan atau meratap-ratap.

Setiap Muslim harus menyedari segala yang berlaku adalah takdir dan ketentuan daripada Allah SWT. Oleh itu, semestinya kita perlu menjauhi dan meninggalkan perkara yang tidak sesuai dengan nilai Islam seperti meratapi orang yang telah meninggal dunia.

Haram menangis berlebihan

Imam Nawawi dalam Kitab Al Azkarnya berkata: “Ketahuilah bahawa meratapi mayat adalah mengangkat suara dengan merintih dan menangisi mayat dengan menyebut kebaikannya. Kami berpendapat mengeraskan suara tangis secara berlebih-lebihan itu haram. Ada pun menangisi mayat tanpa merintih dan tanpa meratapi adalah tidak haram.”

Apabila ditimpa musibah kematian, cepat-cepatlah kembali kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila datang ajal mereka tidaklah tercepat dan tidak pula terlambat barang sesaat pun.” (Surah al A’raf, ayat 34)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW sangat mengambil berat larangan meratap ini, khususnya bagi wanita. Rasulullah mengancam wanita yang suka meratapi orang yang sudah meninggal dengan seksaan pedih.

Daripada Abdullah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan jahilliah (kerana meratapi mayat.” (Riwayat al Bukhari)

Meraung depan mayat

Ada tangisan yang sangat dicela, umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul dada serta merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan yang sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan yang menginsafi dosa silam atau menangis kerana takut akan azab dan seksa Allah SWT.

Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Umar al Khattab: “Sesungguhnya mayat itu akan diseksa kerana tangisan orang yang hidup, iaitu tangisan tercela seperti merintih-rintih dan meratapi.”

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak termasuk sunnahku orang yang mengeraskan suara tangisnya meratapi mayat ketika musibah kematian dengan menangis dan merintih, begitu pula orang yang mencukur rambut dan merobek-robekkan bajunya.” (Riwayat an-Nisa’i)

Sesungguhnya, bersedih saat mendapat musibah kematian orang yang dicintai adalah keadaan yang lumrah bagi setiap orang. Yang menjadi masalah adalah ketika kesedihan diungkapkan dengan cara tidak semestinya menunjukkan rasa tidak sabar menerima musibah itu.

Menurut keyakinan Islam, soal mati adalah soal biasa saja. Mati adalah satu peristiwa penerus hidup duniawi untuk me-nuju ke alam yang lebih kekal - alam barzakh dan seterusnya alam ukhrawi.

Apabila mendengar ada musibah menimpa sesama Islam, terutama musibah kematian, maka agama Islam menganjurkan kita mengucapkan: “Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kita akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat ayat 156)

Hadis
“Sesungguhnya mata pasti akan menitiskan air mata, sedangkan hati pun bersedih. Kita tidak boleh berkata kecuali yang diredai oleh Allah. Dan kami benar-benar sedih atas kepergian Ibrahim.” (Riwayat Muttafakun alaih)

Sumber: Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

1 comments:

  1. mana dalil yg mengatakan bhw mayat terseksa apabila diratapi oleh org yg hidup?

    mungkar(meratap) dr org hidup,kemudian diazabkan yg diratapi...adil ke?

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.