Dipuji atau dikeji adalah lumrah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Namun, pujian diungkapkan lebih disenangi daripada menerima kejian atau
kritikan. Ini disebabkan sifat manusia yang diciptakan dengan
sebaik-baik kejadian.
Oleh itu, ucapan yang baik amat bersesuaian dengan sifat kejadian manusia. Walau bagaimanapun, manusia akan terleka jika sentiasa mendapat pujian. Apa yang terbaik adalah menerima pujian dan kritikan bagi mengimbangi prestasi serta kemampuan seseorang.
Oleh itu, ucapan yang baik amat bersesuaian dengan sifat kejadian manusia. Walau bagaimanapun, manusia akan terleka jika sentiasa mendapat pujian. Apa yang terbaik adalah menerima pujian dan kritikan bagi mengimbangi prestasi serta kemampuan seseorang.
Pujian berlebihan dianggap tidak sesuai kerana sehebat manapun
manusia itu, pastinya ada noktah kelemahan yang wujud pada diri mereka.
Islam menggalakkan semua perkara dilakukan secara wasatiah (sederhana)
dan adil.
Pujian yang baik perlu kena pada tempatnya dengan tujuan merangsang kebaikan dan mempamerkan kepada umum betapa mulia pekerjaan dilakukan. Sindrom yang melanda masyarakat hari ini, terlalu berlebihan memberi pujian.
Tanpa disedari, sikap ini mengundang perkara negatif antaranya pembohongan kerana bercakap perkara tidak benar. Keduanya, mengundang pembelaan atau penutupan kepada sesuatu kesalahan yang dilakukan.
Lebih bahaya, menimbulkan rasa ujub (rasa hebat) kepada mereka yang dipuji.
Akhirnya tiada perangsang atau penjana dalam membina jati diri seseorang.
Daripada Muawiyah Abu Sufyan, Nabi SAW bersabda: “Berwaspadalah kamu dengan puji-pujian kerana ia boleh menyembelih.” (Riwayat Ibnu Majah)
Undang kesombongan
Menunjukkan pujian berlebihan akan mengundang kesombongan terhadap seseorang seterusnya membinasakan amalannya.
Firman Allah SWT: “Pada ketika kami bentangkan amalan mereka pada hari kiamat, maka segala-galanya umpama debu yang halus berterbangan (disebabkan tiada ganjaran daripadanya).” (Surah al-Furqan, ayat 23)
Imam Ibnu Majah menyatakan, seseorang mungkin terpedaya dengan pujian yang diberikan sehingga menyebabkan kelalaian disebabkan kemanisan pujian itu.
Khalifah Umar Abdul Aziz ketika dipuji dalam satu majlis, beliau tunduk serta diam membisu. Selepas selesai pujian dipersembahkan, beliau bertanya: “Apakah sudah selesai pujian tadi? Dijawab: “Ya, wahai khalifah.” Umar berkata: “Ketahuilah bahawa jasad yang engkau puji ini, jika engkau datanginya selepas tiga hari kematianku, nescaya engkau akan lari bertempiaran.”
Beliau menyedari segala pujian yang diungkapkan tidak akan memberi kesan terhadap ganjaran daripada Allah SWT. Sesungguhnya tiada manusia yang marah jika dipuji. Jika ada yang membantah, menunjukkan dia adalah insan yang tidak normal.
Sebenarnya, pujian dibenarkan kepada makhluk atas keistimewaan dan kelebihan dikurniakan padanya oleh Allah SWT sama ada zahir mahupun batin. Tetapi ia tidak boleh melampaui batasan kerana pujian melampau boleh menimbulkan rasa bangga diri, riak dan ujub.
Seharusnya, orang yang menerima pujian hendaklah menerima pujian dengan rasa syukur dan tawaduk terhadap Allah SWT kerana setiap kurniaan sebenarnya datang daripada Allah SWT.
Justeru, kita hendaklah gembira dengan pujian diberikan bukan kerana kelebihan yang ada pada diri tetapi kurniaan yang lebih daripada Allah SWT.
Sekiranya pujian berdasarkan apa yang kita miliki, maka kita haruslah bersyukur dan Allah akan meredai serta memberkatinya. Jika pujian diberikan kepada apa yang tidak kita miliki, hendaklah kita muhasabah dan berusaha menjadi lebih baik. Anggaplah ia motivasi untuk menuju ke arah terbaik.
Justeru, Baginda SAW menganjurkan umatnya membaca doa khusus apabila mendapat pujian daripada seseorang. Baginda berdoa: “Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku kerana apa yang mereka katakan (pujian). Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.” (Riwayat Bukhari)
Hakikatnya, mereka yang memuji hanya dapat menilai daripada pandangan zahir diri seseorang seperti pandangan dilontarkan Saidina Umar: “Sesungguhnya kami hanya dapat menghukum terhadap apa yang zahir di depan mata saja dan perkara sebaliknya kami serahkan kepada Allah SWT.”
Baginda SAW juga tidak suka melihat dan berada pada majlis yang terlalu banyak disajikan dengan puji-pujian. Sabda Baginda SAW: “Bila kamu melihat orang yang memuji dan menyanjung maka taburkanlah pasir ke wajah mereka.” (Riwayat Imam Ahmad)
Pujian dalam mengeratkan persaudaraan serta ikatan kekeluargaan adalah digalakkan. Ini diumpamakan pujian suami kepada isterinya. Begitu juga sebaliknya walaupun hakikatnya kebenarannya tidaklah seberapa.
Wanita senang dipuji
Namun atas dasar kasih sayang dan kelangsungan persaudaraan, maka pujian ini amat digalakkan. Rasulullah juga selalu memuji isteri Baginda SAW kerana sifat wanita sememangnya senang dipuji.
Kita hendaklah berhati-hati apabila memuji atau dipuji kerana kedua-duanya perkara yang akan mengundang kerosakan. Keseimbangan antara pujian dan kritikan adalah peralatan yang tercanggih untuk menjana jati diri serta menambahkan koleksi kebajikan dalam kehidupan.

ada yang suka dipuji... ada yang suka mengipas... ada yang tidak suka keduanya... itulah uniknya sifat manusia, sukar untuk kita ramalkan ...
BalasPadam