PETALING JAYA: Bekas pemain Harimau Muda A (Bawah 23 tahun),
Nazmi Faiz Mansor, yang kembali ke Malaysia selepas menamatkan kontrak
secara mengejut dengan kelab Portugal, SC Beira-Mar, dijangka beraksi
dalam Liga Super bersama pasukan Selangor PKNS.
Pemain berusia 18 tahun itu berkata, keputusan menamatkan kontrak
tiga tahunitu dibuat selepas perbincangan lanjut dengan ejennya dari
Portugal, Marco Guimaraes dan ibu bapanya.
Nazmi Faiz menandatangani kontrak bersama kelab divisyen satu Liga Portugal pada Mei tahun lepas.
Guimaraes, yang hadir bersama Nazmi di kelab Selangor PKNS di Kelana
Jaya, dekat sini, Sabtu, berkata pemain itu dan kelab telah mencapai
keputusan menamatkan kontrak berdasarkan persetujuan bersama.
Pemain itu memperjelaskan keputusannya untuk meninggalkan kelab itu
dan kembali ke Malaysia dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.
"Bagi saya, keputusan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh
saya sendiri namun saya merasakan ia demi kebaikan dan masa depan saya.
"Pandangan (sesetengah pihak) yang mengatakan saya akan kembali
semula ke sana (Portugal) selepas beraksi selama enam bulan di sini
adalah tidak benar memandangkan saya telah menamatkan kontrak dengan
kelab berkenaan," katanya kepada pemberita selepas diperkenalkan kepada
pemain Selangor PKNS.
Guimaraes berkata: "Ia tiada kaitan dengan FAM (Persatuan Bola Sepak
Malaysia) atau mana-mana pihak lain kerana Nazmi Faiz sendiri telah
bersetuju untuk menamatkan kontrak dengan kelab (SC Beira-Mar).
Kepulangan pemain itu telah mengejutkan ramai pihak termasuk ketua
jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang telah memainkan peranan
penting bagi membantupemain itu berhijrah ke kelab Portugal.
Mengulas mengenai pengalaman lapan bulan beraksi dengan kelab Eropah
itu, Nazmi Faiz berkata, beliau gembira dengan pengalaman yang ditimba
dan berharap dapat kembali beraksi di benua itu pada masa depan.
Selepas kembali ke tanah air, Nazmi Faiz telah mengikat kontrak tiga tahun bersama Selangor PKNS.
"Saya memilih Selangor PKNS kerana saya tertarik dengan corak
permainan yang dipamerkan pasukan ini sejak saya beraksi bersama Harimau
Muda B dahulu," kata pemain yang akan menyarung jersi bernombor 33.
Sementara itu, Presiden kelab Selangor PKNS, Noor Hisham Mohd Ghouth
berkata, pihaknya akan menghantar wakil ke FAM pada Isnin ini bagi
menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk mendapatkan Sijil
Perpindahan Antarabangsa (ITC) bagimembolehkan pemain itu beraksi dengan
segera.
"Kalau boleh, kita mahu menurunkan Nazmi Faiz pada perlawanan Liga
Super menentang Felda United (di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya)
pada 16 Februari ini," kata Noor Hisham yang enggan mengulas mengenai
yuran perpindahan yang dibayar oleh kelab berkenaan untuk mendapatkan
khidmat Nazmi Faiz.
Pengurus pasukan Selangor PKNS, Azmi Adnan pula memperjelaskan
tawaran untuk mendapatkan khidmat Nazmi Faiz dibuat oleh ejen beliau
sejak awal bulan lepas.
Beliau berkata, Nazmi Faiz akan didaftarkan sebagai pemain bawah 21
tahun dalam pasukan Liga Super itu memandangkan mereka hanya
mendaftarkan empat pemain dari skuad Piala Presiden (bawah 21) setakat
ini.
Sementara itu, di Kemaman, Terengganu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau sendiri terkejut dengan
kepulangan Nazmi Faiz.
"Saya sendiri tidak tahu perkara sebenar mengenai kepulangan pemain
berbakat itu. Namun saya berharap kepulangan Nazmi Faiz itu tidak
melibatkan perkara negatif," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas
kepulangan pemain itu pada majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) 2.0 di kawasan Parlimen Kemaman. - BERNAMA

0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.