Sebuah masjid di Selayang mempamerkan notis pihak berkuasa agama
Islam Selangor melarang mana-mana pihak menjadikan masjid tempat
aktiviti politik.
Larangan itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin
Idris Shah sebagai Ketua Agama Islam negeri yang mahu masjid hanya
sebagai tempat ibadah bukan gelanggang politik.
Barangkali, bukan sahaja masjid itu mungkin masjid-masjid lain seluruh Selangor juga mempamerkan notis itu.
Sebagai bukti, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad kini sedang
berdepan perbicaraan kerana memberi ceramah tanpa tauliah pihak berkuasa
agama di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar Klang.
Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003
memperuntukkan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau
perkara-perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak
melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya
sekali jika sabit kesalahan.
Sebenarnya, sudah banyak aduan diterima Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS) tetapi ianya langsung tidak membimbangkan pihak terbabit kerana
PAS adalah antara parti yang membentuk kerajaan negeri selain PKR dan
DAP.
Lebih merumitkan, Exco Agama Kerajaan Negeri yang sepatutnya
dipertanggungjawabkan memastikan titah Sultan Selangor dan undang-undang
dipatuhi adalah Menteri Besar sendiri, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Timbul persoalan, beranikah mengambil tindakan terhadap mana-mana
pihak yang berkait dengan PAS mengadakan ceramah di majid atau
surau-surau di Selangor.
Kesepakatan PKR,DAP dan PAS tentu menyulitkan Khalid dan tidak
mustahil surau ataupun masjid akan terus jadi gelanggang politik
khususnya untuk menghentam kerajaan.
Terbaru, selain isu ceramah atau tazkirah tanpa tauliah, jemaah yang
bersolat Jumaat di Masjid Al Falah, Hulu Yam Bharu di Hulu Selangor
terkejut apabila khatib menutup khutbah dengan doa meminta kehancuran
Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas mendoakan kesejahteraan Sultan
Selangor.
Terdapat sebilangan jemaah menurunkan tangan untuk tidak mengaminkan
doa tersebut dan ada juga yang mengambil keputusan keluar daripada
masjid kerana berasa terganggu.
Ramai jemaah yang terkejut dengan bacaan doa itu kerana tidak
menyangka khatib yang merupakan imam kedua masjid itu sanggup mendoakan
kehancuran sesama Islam.
“Dalam kekhusyukan mengaminkan doa akhir itu, tiba-tiba terkejut dengan doa yang menyebut kehancuran Umno dan BN.
“Saya segera menghidupkan telefon bimbit dan merakam sambungan doa
itu hingga akhir kerana saya sifatkan doa ini menyimpang,” ujar Muhammad
Shaiful Harun, jemaah masjid itu yang kemudiannya membuat laporan di
Balai Polis Hulu Yam Bharu Jumaat.
Menurutnya, kerana mahukan penjelasan beliau menunggu khatib tersebut
di depan masjid dan bertanyakan sama ada doa itu tercatat dalam teks
khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Namun, menurutnya ketika bersemuka dengan khatib tersebut beliau terus ditengking dan dikutuk dengan kata-kata kesat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan
(JKKKP) Kampung Kampung Pasir, Rosli Sari lantas menurunkan tangan
sebaik mendengar doa tersebut.
Beliau terpinga-pinga dan terkejut mendengar doa itu sambil berasakan kesal terhadap tindakan khatib tersebut.
“Saya terasa sangat dan terus menurunkan tangan. Sambil mendengar doa
itu hingga akhir, saya masih tertanya-tanya mengapa khatib membaca doa
seperti itu.
“Sebab saya tidak pernah mendengar doa sebegitu ketika solat. Kalau
melihat doa disampaikan adik (Mursyidul Am Pas) Nik Abdul Aziz, hanya
dalam berita di televisyen, tapi ini depan mata,” katanya.
Perkara itu kini sudah dalam siasatan polis dan tentunya JAIS juga tidak boleh berdiam diri.
Sampai masanya, tindakan tegas perlu diambil oleh JAIS terhadap
mereka yang mengotorkan masjid atau surau dengan cerita-cerita politik
demi kejayaan politik parti diwakili mereka.
JAIS tidak perlu takut atau ragu-ragu untuk menggenakan tindakan
terhadap mereka kerana tindakan itu selaras titah Sultan Selangor yang
mahu institusi agama itu tidak dicemari pengaruh politik.
Khalid pula sebagai Exco Agama perlu tegas menyokong JAIS
melaksanakan tugas mereka sama seperti beliau menyatakan sokongan kepada
jabatan itu yang menyiasat Naib Presiden PKTR, Nurul Izzah Anwar yang
terbabit kontroversi mengenai kebebasan beragama seperti dinyatakan
dalam sebuah forum.
Namun, dapatkah Khalid bertegas terhadap tindak tanduk pemimpin atau
ahli-ahli PAS berceramah di masjid atau surau dan juga bertegas terhadap
Nurul Izzah anak kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Ini sesuatu yang akan menguji Khalid disebalik banyak pihak melihat
kegagalan beliau sebagai Menteri Besar menyelesaikan janji-janji kepada
rakyat Selangor yang dibuat pada kempen PRU ke 12 dulu.
Apakah selepas jadi menteri besar yang diumumkan paling cemerlang
oleh Anwar, Khalid sebaliknya dilihat gagal sebagai MB dan Exco Agama?
Adakah lebih penting Khalid menjaga hati Anwar dan PAS berbanding
titah Sultan Selangor yang mahu menjagakan perpaduan umat Islam? Kini,
timun dan pisau ditangan Khalid.
Sumber: Agenda Daily
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.