Tak Sebulu Dengan Keputusan Majlis Syura Punca Nik Aziz Pulang Awal

Kuala Lumpur: Cubaan kumpulan pro-Anwarinas untuk menyingkirkan Nasharuddin Mat Isa dari PAS gagal apabila bekas Timbalan Presiden parti itu mendapat sokongan penuh daripada kumpulan ulama.

Keputusan PAS mengekalkan Ahli Parlimen Bachok itu sebagai ahli Majlis Syura membuktikan kritikannya terhadap kepemimpinan DAP yang dianggap sebagai anti Islam adalah tepat dan direstui ulama parti itu.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin, berkata kata putus pucuk pimpinan PAS itu semestinya menimbulkan rasa kurang senang kumpulan pro-Anwarinas, namun yakin keputusan berkenaan bersifat sementara.

“Kumpulan pro-Anwar dalam PAS semestinya tidak menyukai keputusan ini, ia sekali gus menampakkan krisis dalaman PAS semakin bergolak selain membuktikan kumpulan ulama menolak pengaruh Anwarinas dalam parti itu.

Bersifat sementara

“Tapi saya yakin ia hanya bersifat sementara, keputusan itu hanyalah untuk menjaga kestabilan parti. Nasharuddin mempunyai perjuangan jelas, saranannya supaya PAS meninggalkan pakatan adalah perkara betul,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sokong penuh perjuangan Ahli Parlimen Bachok

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata keputusan juga membuktikan kumpulan ulama dalam parti itu menyokong penuh perjuangan Ahli Parlimen Bachok itu.

“Keputusan ini sememangnya sudah dijangka banyak pihak, sebab itu isu membabitkan Nasharuddin ini dibawa kepada Majlis Syura untuk diputuskan dan Majlis Syura sudah pasti tidak akan memecat orangnya.

“Dalam Majlis Syura yang bertentangan dengan Nasharuddin hanyalah (Menteri Besar Kelantan) Datuk Nik Aziz Nik Mat. Ini kerana Nik Aziz dipengaruhi oleh erdogan dalam parti itu,” katanya.

Di Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Ulama PAS, Mohd Noor Deris, berkata keputusan majlis itu menunjukkan pengaruh Nik Aziz semakin menyusut.

Katanya, sekiranya diikutkan kehendak Nik Aziz, sudah tentu Nasharuddin kini sudah dipecat daripada parti itu.

Sumber: Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.