Kebebasan Boleh Disekat Jika Menjejaskan Agama


Sejak akhir-akhir ini kita mendengar banyak hujah yang menjurus ke arah pengiktirafan hak asasi manusia yang berorientasikan akal dan kehendak nafsu manusia. Kita mendengar hal berkaitan seksual sehingga hal berkaitan hukuman mati. Mutakhir, kebebasan berkarya.

Hujah yang dikemukakan bagi menyokong kebebasan ini semuanya berasaskan hak asasi seperti difahami oleh kononnya masyarakat antarabangsa.

Sekiranya ditanya, tidak ada sesiapapun yang menolak hakikat bahawa tiada hak yang tidak mempunyai sempadan. Mereka akan menghujah bahawa hak bukanlah sesuatu yang mutlak. Setiap kebebasan harus disekat dan kebebasan hanya mempunyai ruang tertentu. Namun, dalam melaksanakan hak, didapati sempadan kepada hak berkenaan tidak dihormati dan ini menjadikan pelaksanaan hak sebagai sesuatu yang bergerak tanpa sempadan.
Persoalan yang timbul kini, di manakah letaknya hak agama dalam amalan hak asasi? Wujudkah lagi hak agama dalam sistem perundangan kita? Kita jarang sekali mendengar hujah mengenai menjaga hak agama. Di manakah letaknya hak agama di dalam perundangan kita?

Saya tidak hanya merujuk kepada hak beragama atau hak penganut sesuatu agama. Apa yang saya maksudkan ialah penghormatan yang diberikan oleh undang-undang kepada agama.

Perkara ini saya bawakan ke hadapan kerana negara kita adalah negara yang menganut satu agama, iaitu Islam. Dalam kata lain, kita memandang tinggi kepada kedudukan agama. Sekiranya kita tidak mempertahankan kedudukan agama, maka ia adalah satu titik yang hilang dalam perundangan kita.

Berbalik kepada hak asasi dan kedudukan agama, Perlembagaan Persekutuan meletakkan hak bersama dengan sekatan tertentu yang boleh digubal oleh Parlimen (bukan Dewan Undangan Negeri). Parlimen diberikan kuasa untuk menggubal undang-undang menyekat kebebasan. Secara umum, Perlembagaan kita tidak mempunyai peruntukan harfiah mengenai hak agama. Namun, ada beberapa aspek yang boleh dianggap sebagai menjaga kedudukan agama dan juga kebebasan beragama.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, sebagai contoh, menyediakan peruntukan berkaitan kesamarataan. Namun, hak kesamarataan ini tidak menyekat atau tidak menidaksahkan atau melarang ketidaksamaan berkaitan undang-undang diri. Dalam kata lain, undang-undang diri yang secara umumnya berasal daripada ajaran atau perintah agama setiap individu adalah diiktiraf oleh undang-undang. Kita tidak boleh menyelaraskan undang-undang diri bagi penganut agama yang berbeza.

Perkara 8 juga tidak menidaksahkan apa-apa peruntukan undang-undang atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan berkaitan dengan hal ehwal mana-mana agama. Maksudnya di sini, ketidaksamarataan boleh berlaku dalam pentadbiran agama. Sebagai contoh, undang-undang boleh menyekat seorang yang bukan beragama Islam daripada menjawat apa-apa jawatan berkaitan agama Islam.

Perkara 10 pula meletakkan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi menyekat kebebasan bersuara.

Antara panduan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Parlimen bagi menggubal undang-undang menyekat kebebasan di bawah perkara 10 ialah, undang-undang yang digubal itu perlu atau suai manfaat, antara lain demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Walaupun kita tidak mempunyai peruntukan khusus bagi menjamin keselamatan kepada agama, kita boleh lebarkan tafsiran kepada frasa ‘keselamatan negara’ dan ‘ketenteraman awam’. Kedua-dua frasa ini membolehkan sekatan ke atas sebarang aktiviti yang boleh mengguris perasaan dan sensitiviti agama. Sebagai contoh, sekiranya kita dapati sebarang karya mengguris perasaan orang Islam maka, kita boleh menggunakan hal ini untuk memastikan hak asasi berkaitan kebebasan bersuara itu boleh disekat oleh undang-undang.

Walaupun ada ruang tafsiran Perlembagaan untuk meletakkan perasaan atau sensitiviti agama sebagai elemen penting bagi negara ini, adalah lebih baik sekiranya Perlembagaan menyediakan satu frasa khusus untuk memberi kuasa kepada Parlimen bagi membuat sekatan ke atas kebebasan bersuara sekiranya kebebasan itu digunakan bagi menghina sesuatu agama. Saya tidak bermaksud mengehadkan penggunaan cadangan ini kepada agama Islam semata-mata kerana agama lain juga mungkin menghadapi situasi yang sama.

Saya yakin, kita sudah sampai kepada satu situasi untuk bersama-sama menilai dan membentuk kesepakatan dalam menentukan skop kebebasan di negara kita. Skop kebebasan ini tidak harus mengetepikan agama (bukan saja perasaan atau sensitiviti agama) bagi negara ini - Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.