Felda Global Kembang Segmen Hiliran


Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan menjalin pakatan dengan beberapa rakan niaga komersial Asia Tenggara dalam tempoh terdekat ini bagi mengembangkan perniagaan hiliran industri minyak sawit dan makanan.

Ketua Operasi Hilirannya, Martin Rushworth, berkata pakatan itu bakal menyediakan beberapa keperluan, khususnya membabitkan rangkaian pemasaran dan pengedaran yang lebih tersusun dalam membantu FGV mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran baru dan sedia ada.

“Seperti yang dinyatakan semasa penyenaraian FGV, antara strategi pertumbuhan FGV adalah untuk mengembangkan perniagaan hiliran yang mana ia bertujuan untuk penjenamaan serta melindungi operasi huluan FGV, iaitu perniagaan teras dalam kumpulan.
 
“Justeru, kami akan mengumumkan beberapa perkembangan baru membabitkan FGV dalam tempoh terdekat ini, termasuk membabitkan pemeteraian beberapa perjanjian pengedaran dengan beberapa syarikat di Asia Tenggara,” katanya dalam satu temubual dengan kumpulan Media Prima di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan bagi membolehkan kumpulan melebarkan sayapnya dalam aktiviti hiliran secara lebih tersusun dan sistematik dan mampu menjana lebih keuntungan dalam pasaran antarabangsa, khususnya di Asia Tenggara.

Makin meningkat

“Permintaan pengguna untuk barangan siap, khususnya dalam sektor makanan di seluruh dunia dilihat makin meningkat dari tahun ke tahun.

“Bersandarkan kepada faktor berkenaan, kumpulan berharap dengan aktiviti pengembangan perniagaan dalam bahagian hiliran ini, ia mampu meningkatkan sumbangan kepada pendapatan FGV sebanyak 20 peratus menjelang 2014 daripada 10 peratus kini,” katanya.

Martin yang juga Naib Presiden Kanan Bahagian Minyak dan Lelemak FGV, berkata jika dulu model perniagaan FGV lebih bertumpu dalam kegiatan huluan, kini ia perlu berubah untuk meningkatkan keuntungan dan tidak terlalu terdedah kepada harga komoditi yang turun naik.

“Antara caranya ialah dengan memperluaskan penerokaan dalam aktiviti hiliran," katanya.

Beliau berkata, langkah meluaskan kegiatan dalam aktiviti hiliran itu juga adalah sebagai usaha membantu menambahkan lagi pendapatan kepada peneroka selain mengelakkan mereka bergantung sepenuhnya kepada aktiviti pengeluaran sawit.

Martin yang berpengalaman luas dalam industri hiliran dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman termasuklah perkhidmatan beliau di Kumpulan Unilever berkata, margin keuntungan lebih baik lazimnya dalam pengeluaran produk pengguna akhir - Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.