KUALA LUMPUR: Pencerobohan militan Filipina di
Lahad Datu, Sabah tidak boleh disamakan dengan insiden berdarah kumpulan
pemberontak Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada Julai 2000,
kata bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri
Zaini Mohd Said.
Beliau berkata militan Al-Maunah mengisyitharkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agong manakala militan Filipina yang mendakwa sebagai
Tentera Kesultanan Sulu datang untuk menuntut negeri Sabah.
Zaini, yang terbabit dalam operasi menumpaskan kumpulan Al-Maunah,
berkata situasi dan motif kedua-dua kumpulan militan adalah berbeza yang
mana anggota Al-Maunah adalah rakyat tempatan manakala militan Filipina
adalah warga asing.
Militan Al-Maunah bercadang menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui
huru hara manakala kumpulan bersenjata Filipina di Sabah menceroboh
dengan menggunakan tindakan kekerasan, katanya kepada pemberita di sini,
Khamis.
Zaini berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Panglima Tentera
Darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein dalam portal
berita online 'Malaysiakini' yang mendakwa pihak keselamatan mengambil
masa empat hari sahaja dalam menumpas kumpulan Al-Ma'unah berbanding
dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula
mempertahankan tindakan pasukan keselamatan negara dalam menangani
krisis pencerobohan di Sabah dan menyifatkan tindakan yang diambil
adalah tepat dan wajar.
Beliau berkata kerajaan tidak bertindak secara terburu-buru malah
telah mengambil pendekatan mengelak pertumpahan berdarah menerusi usaha
rundingan dengan kumpulan penceroboh bersenjata bagi mencapai
penyelesaian secara aman.
Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan militan dari selatan Filipina
itu memilih untuk mencetuskan pertempuran sehingga mengorbankan lapan
anggota keselamatan negara.
Musa juga menyeru semua pihak ternmasuk ahli politik supaya memberi
sokongan kepada pasukan keselamatan negara yang menjaga kententeraman
dan membanteras kumpulan penceroboh di Sabah.
"Saya harap jangan keluarkan kenyataan atau komen negatif yang boleh
menjatuhkan semangat anggota pasukan keselamatan negara," katanya sambil
meminta rakyat yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan negara.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail,
yang turut bersetuju dengan Musa, berkata rakyat tidak sepatutnya
mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan untuk melindungi kedaulatan
negara.
"Kita sebagai rakyat sebuah negara perlu menunjukkan semangat bersatu
padu dan sokong pasukan keselamatan. Ini satu ujian kepada rakyat untuk
membuktikan semangat cintakan negara," katanya.
Mohd Salleh juga melahirkan keyakinan bahawa pasukan keselamatan
negara dapat menangani insiden pencerobohan itu berdasarkan pengalaman
dan kejayaan menumpaskan komunis pada satu masa dahulu.
BERNAMA
BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.