KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk
Dr Hasan Ali pada Selasa mengingatkan umat Islam tidak menyokong ulama
popular yang menceburi dunia politik semata-mata untuk meraih keuntungan
terdekat.
"Begitu juga sekiranya kehadiran mereka hanya untuk dijadikan alat
oleh sesetengah pimpinan parti politik untuk mengaburi mata rakyat
dengan tujuan membersihkan imej pemimpin yang sudah tercalar moral dan
akhlak mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Hasan, yang juga presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), sebuah badan
bukan kerajaan, berharap para ulama popular ini tidak dengan begitu
mudah mengkhianati ilmu dan amalan mereka sebagai ulama.
"Mereka perlu menghindarkan diri daripada fitnah yang mungkin
dilontarkan kepada mereka sebagai ulama, yang sudah tentu pada analisa
akhirnya menatijahkan sesuatu yang negatif terhadap Islam itu sendiri,"
katanya.
Mengenai dirinya, Hasan berkata beliau menyertai PAS atas dorongan
untuk mendaulatkan Islam, melaksanakan negara Islam dan hudud serta
membantu masyarakat berlandaskan al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas.
"Buat seketika jalan ke arah itu kelihatan terbuka luas sehinggalah
PAS menyertai Pakatan Rakyat yang telah mengubah hala tuju dan rangka
kerja parti Islam itu.
"Parti itu tidak lagi menjulang Negara Islam, sebaliknya atas desakan
DAP dan PKR diganti dengan Negara Berkebajikan," kata Anggota Dewan
Undangan Negeri Gombak Setia itu.
Hasan berharap para ulama popular ini, tidak kira parti yang mereka
pilih, akan menggunakan seluruh kekuatan minda, intelek, spiritual dan
fizikal mereka untuk mengagungkan Allah SWT, dan tidak ada tujuan lain
selain tujuan murni ini. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.