KUCHING: Senator bebas Australia Nick Xenophon
ialah seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak
kepada sebuah parti sahaja, justeru itu tidak layak menjadi pemerhati
pilihan raya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri
Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata SPR pernah mengadakan perbincangan dengan Xenophon
atas jemputan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi perkara
yang ditimbulkannya sama seperti isu yang dibangkitkan parti
pembangkang.
"Jadi pemerhati patut bebas, tidak berat sebelah, yang tidak betul
tegur walaupun siapa buat salah...Bila bias (dia) tidak dapat hendak
jadi pemerhati yang adil dan saksama. Dia mewakili parti politik
tertentu, (untuk) jadi pemerhati tidak bolehlah begitu," katanya kepada
pemberita di sini, Selasa.
Beliau sebelum itu merasmikan taklimat ulangan untuk 96 peserta
terdiri daripada pegawai pengurus dan ketua pasukan Penguatkuasaan
Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) Pilihan Raya Umum Ke-13.
Abdul Aziz berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak perlu
mengikut telunjuk (individu dari) negara lain untuk melakukan sesuatu.
"Saya percaya negara dia pun (Australia) tidak suka kalau Malaysia
beritahu perdana menterinya supaya melantik Malaysia jadi pemerhati atas
sebab (kononnya)banyak perkara tidak betul berlaku, itu maknanya kita
sudah campur tangan dalam kedaulatan negara lain," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata isu-isu yang cuba dibangkitkan
Xenophon adalah isu yang sama yang disuarakan oleh parti pembangkang.
"Untuk makluman, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar
pernah mengadakan perjumpaan dengan dia. Pertanyaan serta keraguannya
boleh dikatakan tidak berbeza langsung dengan perkara-perkara yang
selalu ditimbulkan parti politik (pembangkang), seratus peratus serupa.
"Walaupun sama, kami tetap beri penjelasan kepada mereka,"
katanya.Menurutnya antara isu yang dibangkitkan ialah persempadanan
kawasan pilihan raya dan daftar pemilih.
"Saya sendiri pernah terangkan isu itu kepada Duta Australia ke
Malaysia...beliau faham dan mengatakan beliau tidak bermaksud untuk
campur tangan dalam sistem kita, tetapi cuma untuk pemahaman beliau
sahaja," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.