Kepimpinan
tertinggi Pakatan Rakyat baru-baru ini dilaporkan telah membuat
ketetapan bahawa ruang bangsa dalam semua dokumen rasmi kerajaan seperti
kad pengenalan, sijil kelahiran dan sebagainya akan diisi dengan
perkatan Malaysia sahaja sekiranya mereka memerintah negara. Alasannya
ialah untuk memastikan keutuhan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
Menurut
laman Suara PR, khabarnya juga, PR turut bercadang akan menghapuskan
ruangan agama dan jantina bagi memastikan tiada perbezaan atau
diskriminasi ke atas mana-mana pihak.
Kita
melihat bahawa rancangan PR ini tidak lain tidak bukan ialah untuk
menepati matlamat akhir perjuangan sebenar mereka iaitu menghapuskan
status ‘bumiputera’ serta menyebarkan fahaman pluralisme dan liberalisme
total. Tindakan PR menerima baik malah menjulang para pejuang murtad
dan LGBT seperti Ambiga dan yang seangkatan dengannya, sebagai wira
dalam menentang kerajaan, adalah buktinya.
Dengan kad pengenalan baru tersebut, pastinya sukar untuk mengenalpasti pertukaran agama mahupun jantina seseorang. Bayangkan masalah yang bakal timbul jika jenazah seorang mualaf mungkin ditanam di perkuburan bukan Islam akibat tiada siapa dapat membuktikan agamanya. Atau bagaimana jenazah seorang yang menukar jantina akan disembahyangkan apabila segala-galanya menjadi keliru antara kejadian alam semulajadi dengan peraturan ciptaan manusia.
Dan
bayangkan juga nasib kaum Melayu tanpa status bumiputera. Bagaimana
agaknya peniaga-peniaga kita akan dapat bersaing dengan peniaga-peniaga
Cina yang sedia mengawal ekonomi Malaysia? Apakah jaminan mereka tidak
akan didiskriminasi oleh peniaga, pengedar dan pembekal dari kaum Cina?
Bagaimana dengan anak-anak Melayu kampung yang miskin dapat menyaingi
anak-anak bandar dan kaum lain dalam merebut peluang ke menara gading?
Bagaimana kita memastikan kaum Melayu yang rata-ratanya dari golongan
pekerja dan pegawai kerajaan dapat mengimbangi jumlah penduduk di
bandar-bandar besar jika tidak mampu membeli hartanah yang harganya
menjulang tinggi?
Ini
belum lagi dibincangkan mengenai senario kuasa politik yang sama kuat
atau lebih berat di kalangan bukan Islam di dalam kabinet PR. Dengan
tekanan dari ‘pejuang hak asasi’ seperti Ambiga dan angkatannya,
bagaimana kita memastikan yang pihak yang lemah terbela serta tuntutan
Islam terlaksana dalam setiap krisis yang membabitkan Melayu dan Islam?
Begitu
banyak persoalan dan permasalahan yang bakal timbul dengan cadangan kad
pengenalan baru PR ini. Tetapi, malang dan hairan sekali kerana PAS
tidak pula membuat bising atau ‘berjihad’ menentang rancangan ini.
Walaupun
terdapat keraguan dan rungutan dari beberapa pihak di dalam PR tetapi
tiada tentangan keras, dan akhirnya tenggelam begitu saja.
Sewajarnya
perkara ini tidak ditenggelamkan kerana ia bakal memberi impak yang
besar kepada negara dan rakyat perlu menelitinya supaya tidak terngadah
di kemudian hari. Begitupun, kita pasti, ramai dari kalangan penyokong
PR sendiri yang musykil dan kurang percaya dengan laporan ini.
Tetapi,
inilah yang disebut oleh pemimpin mereka dan ianya dilaporkan oleh
laman web pro mereka. Oleh itu, ia perlu diambil serius oleh setiap
seorang dari rakyat Malaysia. Jangan sampai tersilap memberi mandat
kepada parti yang bertunjangkan liberalisme dan pluralisme. Jangan
sampai kita menangis air mata darah andainya generasi kita yang akan
datang menghadapi krisis agama, bangsa dan juga jantina.
Alasan
perpaduan yang digunakan oleh PR sebagai asas cadangan kad pengenalan
ini tidak boleh dipakai sama sekali. Ini kerana Rakyat Malaysia telah
pun bersatu sejak berpuluh tahun lalu. Kalaupun ada cabaran yang
menggoyahkan perpaduan dalam negara sebelum ini, ia tidak lain tidak
bukan, datangnya dari parti pembangkang juga, seperti DAP pada 13 Mei
dan PAS yang pada satu ketika menganggap kaum bukan Islam itu najis
malah UMNO juga sebagai kafir.
Rakyat
Malaysia kekal bersatu di bawah BN hari ini walaupun pihak pembangkang
yang bertopengkan NGO terus berusaha menghancurkannya. Di bawah slogan
1Malaysia, rakyat Malaysia akan terus bersatu tanpa perlu menghapuskan
identiti semulajadi di dalam kad pengenalan kita. Penentuan bangsa
adalah penting bagi mengenalpasti keturunan, mengenalpasti penyakit dan
sebagainya. Kepastian agama juga penting, walaupun ia bersifat
spiritual dan bukannya fizikal namun ia wajib bagi menentukan struktur
kehidupan dan kematian seseorang.
Jelas,
penghapusan ruang agama, bangsa dan jantina dalam kad pengenalan adalah
tidak perlu sama sekali kerana ia bukan ramuan kepada perpaduan. Ia
hanyalah penyamaran yang digunakan untuk pembangkang bagi melindungi
matlamat sebenar iaitu sebagai platform kepada fahaman pluralisme dan
liberalisme di negara ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.