Bangsa Akan Binasa Jika Harta Disalah Guna

Satu tonggak kehidupan yang sentiasa diidamkan setiap manusia ialah harta yang boleh menjadi aset berupaya melonjakkan martabat sesuatu bangsa ke persada dunia dalam pelbagai lapangan hidup.

Tetapi jika harta disalahgunakan, ia mampu mengakibatkan sesebuah bangsa hancur dan binasa.
Demikianlah kuatnya pengaruh harta dalam kehidupan manusia sejagat. Maka tidak hairanlah al-Quran banyak menyentuh kedudukan dan nilai harta dalam pentas kehidupan ini.

Firman Allah SWT: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai balasan pahala dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Perhiasan hidup

Harta pada hakikatnya adalah nikmat dikurniakan Allah kepada sesiapa dikehendaki-Nya di dunia ini. Harta tidak lebih dari sekadar perhiasan hidup yang indah sebenarnya salah satu ujian keimanan dan kehidupan di bumi Allah.

Menyedari harta adalah amanah, seorang Muslim harus berusaha mendapatkan harta yang halal lagi bersih di sisi Islam, dari segi cara diperoleh dan bagaimana ia dimanfaatkan juga perlu mematuhi etika Islam.

Jika hakikat ini difahami dan dihayati setiap Muslim, maka harta bukan hanya sekadar perhiasan hidup di dunia, bahkan menjadi perhiasan indah di akhirat kelak. Keadaan ini berbeza bagi manusia yang membelakangkan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Apa yang memenuhi ruang pemikirannya mengenai makna hidup ialah memperoleh harta sebanyak mungkin seterusnya menggunakan harta itu sesuai kehendak hawa nafsunya. Malah, dia juga tergamak mengatakan harta yang diperoleh hasil titik peluh atau usahanya sendiri.

Menghitung-hitung kekayaan

Allah SWT berfirman: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Dia menyangka hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini).

Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al-Hutamah’. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apakah dia “Al-Hutamah” itu? (Al-Hutamah) itu ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya). Yang naik menjulang ke hati. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.” (Surah al-Humazah, ayat 1-9)

Begitulah nasib dan kesudahan buruk menimpa manusia yang mencemuh dan memandang rendah orang lain kerana dia senang lenang padahal kekayaannya tidak dapat memberikan sebarang faedah pada hari akhirat kerana bersifat bakhil serta tidak pula menggunakannya pada jalan kebajikan.

Mensyukuri nikmat

Sepatutnya sebagai seorang yang telah dilapangkan hidupnya dan dikurniakan limpahan nikmat, dia bersyukur kepada Allah, menghormati serta berhubung mesra sesama manusia yang lain.

Inilah peringatan disampaikan Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Seorang hamba berkata: Ini hartaku! Itu hartaku!. Namun sesungguhnya apa yang sebenar-benar menjadi hartanya ialah apa yang dimakan lalu habis, apa yang dipakai lalu lusuh dan koyak, dan apa yang dinafkahkan lalu menjadi bekalan amal untuk hari akhirat. Manakala harta yang berada di luar itu akan hilang ditinggalkannya dan akhirnya ia menjadi milik orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Menafkahkan harta

Biarpun amalan menafkahkan harta pada zahirnya nampak seakan mengurangkan harta dimiliki tuannya tetapi hakikat adalah sebaliknya iaitu amalan itu akan memperbanyakkan dan memberkati harta dimiliki sehingga menjadi berlipat ganda.

Dari satu segi, keengganan menderma harta hanya akan merosak dan membinasakan harta dimiliki. Paling penting, setiap manusia akan diaudit hartanya pada hari akhirat nanti dan dipersoalkan dengan dua soalan iaitu dari mana harta diperoleh dan untuk apa digunakan.

Justeru, manfaatkanlah harta yang dimiliki itu untuk tujuan kebaikan ummah dan kepentingan Islam sejagat.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.