PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Watie (Elite) tidak akan
menghiraukan dengan cakap-cakap orang menuduhnya mahu mencari publisiti
murah dan menunjuk-nunjuk apabila memilih untuk mengadakan majlis
resepsi perkahwinan kali keduanya bersama aktor Joey Daud.
Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 36, berkata tempoh yang
singkat di antara majlis resepsi pertama pada 1 Mei lalu dengan yang
kedua ini bertujuan untuk meraikannya rakan-rakan industri seni dan
para peminat yang tidak berpeluang menghadiri majlis resepsi pertama
tempoh hari.
“Saya tidak anggap majlis resepsi untuk kali kedua ini sebagai
sesuatu yang melampau atau keterlaluan. Malah, saya tidak kisah kalau
ada yang beranggapan begitu.
“Niat saya ikhlas untuk meraikan rakan artis, krew-krew industri seni
dan para peminat yang tidak dapat menghadiri majlis resepsi kami pada 1
Mei lalu. Saya harap orang ramai tidak salah faham,” katanya ketika
dihubungi mStar Online, petang Selasa.
Majlis resepsi Watie dan Joey, 38, akan diadakan pada pukul 8.30
malam, Sabtu ini di perkarangan Mydin Mall, Subang Jaya dekat sini
bersempena Festival Kerja Kahwin ke-7.
Watie dan Joey bernikah secara rahsia pada 22 Disember tahun lalu di
kediamannya di Bukit Antarabangsa dekat sini dengan berwalikan adiknya
Mohd Nor Azni Sadali.
Majlis resepsi Watie dan Joey pada 1 Mei lalu diadakan di kediaman
Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.
Watie berkata, dia dan suami bersetuju untuk menerima tawaran seorang
rakan yang juga penganjur festival perkahwinan itu kerana mahu
berkongsi kegembiraannya dengan peminat dalam skala majlis yang lebih
besar.
“Memang saya simpan hasrat untuk bersanding depan peminat dan
rakan-rakan. Pada majlis resepsi pertama tempoh hari, ia dibuat dalam
skala kecil saja. Apabila rakan saya menjemput kami menyertai festival
perkahwinan pada Sabtu ini, saya berasa teruja dan terharu.
“Saya hanya mahu berkongsi kegembiraan dengan peminat dan insan-insan
yang banyak membantu saya dalam bidang seni selama ini,” katanya yang
dijangka mengundang sekitar 300 tetamu pada majlis itu nanti.
Terbaru, Watie sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem untuk musim Aidilfitri nanti berjudul Raya Bujang Sore untuk RTM.
Sumber: MStar Online
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.