Khalid Tak 'Goyang' Banyak Calon Bertanding Jawatan Tertinggi PKR

khalid-ibrahim-pkr
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan andaian bahawa banyaknya pencalonan untuk jawatan tertinggi PKR tahun ini sebagai menunjukkan protes terhadap kepimpinan parti yang ada sekarang.
  
Menyifatkan ia hanya perkara biasa, Abdul Khalid menyatakan pertambahan jumlah itu menunjukkan parti tersebut sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak untuk bertanding sebarang jawatan.
  
"Tiada protes...ini memang perkara biasa sebab tiada sekatan untuk sesiapa mahu bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program U-Pustaka peringkat negeri Selangor di sini hari ini.
  
Dalam pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung pada Mei depan, Abdul Khalid yang bertanding jawatan nombor dua parti bakal berdepan lima calon antaranya Setiausaha Agung Saifuddin Nasution; Naib Presiden Tian Chua; dan penyandang jawatan itu Azmin Ali.
  
Pemilihan parti itu tahun ini menyaksikan dua jawatan tertinggi iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden mencatatkan bilangan calon teramai menyerahkan borang pencalonan.

Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk memenangi jawatan tersebut, Abdul Khalid berkata: "Mereka (anggota PKR) boleh menaruh kepercayaan pada saya".
  
Bagi jawatan presiden, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentang isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penyandang jawatan itu.
  
Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijalankan secara berperingkat mengikut zon dalam tempoh tiga minggu.
  
Keputusan undian akan diketahui selewat-lewatnya jam 5 petang bila proses pengundian dijangka tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei. - Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.