Isu Kalimah Allah: Paderi Anderw Tidak Akan Mohon Maaf Pada Umat Islam

sallehen-paderi-andrew

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pada Selasa menegaskan pendirian mendukung dan menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi berkata pihaknya bagaimanapun belum memutuskan sebarang tindakan yang akan diambil jika terdapat gereja di Selangor yang menggunakan kalimah Allah dalam upacaranya.

"Tiada apa perbincangan dibuat untuk perkara itu cuma kita berlandaskan titah Tuanku berhubung isu kalimah Allah ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan beliau dan Pengarang Majalah Mingguan Katolik 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Ketika ditanya sama ada Andrew perlu memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini yang mahu meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya, Sallehen berkata "(Andrew) tidak perlu memohon maaf atas kenyataannya, itu perkara lepas...biar lepas, yang penting perkara hadapan.

"Saya mengadakan perbincangan hari ini dengan beliau (Andrew) cuma mahu isu agama ini diselesaikan secara harmoni, jangan diselesaikan dalam bentuk ganas dan angkuh," katanya yang turut mencadangkan majlis perundingan perpaduan antara kaum diwujudkan kerajaan negeri selepas ini.

Pada 27 Disember lepas, Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak dan umat Islam terutama di Selangor.
Sallehen berkata pihaknya juga akan mengemas kini dan memperbaiki Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai oleh Jais dalam operasi agensi itu.

Pihaknya turut bertanggungjawab dalam operasi jabatan itu terutama yang membabitkan hal-hal berkaitan isu agama, katanya.

"Jais perlu memaklumkan operasi dan tindakannya kepada saya, seperti tindakan jabatan itu menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia, saya tidak dimaklumkan.

"Saya tidak nafikan tindakan Jais itu betul, Jais melaksanakan tugasan mengikut SOP dan enakmen negeri sedia ada, cuma ada perkara yang perlu diperbaiki termasuk memaklumkan setiap tindakannya kepada saya," tambah Sallehen.

Khamis lepas, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 bible versi bahasa Melayu dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Tindakan Jais itu turut dikritik khususnya dari kalangan bukan Islam termasuk Majlis Peguam.

Sementara itu, Andrew berkata beliau tidak akan memohon maaf seperti yang didesak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno Selangor dan Perkasa atas pendiriannya yang tetap mahu menggunakan kalimah Allah.

"Saya mengikut dasar kebebasan beragama, dalam Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri tanpa campur tangan kumpulan agama lain," katanya. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.