PUTRAJAYA: Permohonan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di
sini hanya diluluskan jika ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan
termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan
hiburan yang berlandaskan Islam.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
berkata ia bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran
negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.
"Kita ada garis panduan, dan kita akur pada garis panduan ini. Kita
nak Putrajaya menjadi bandar yang lestari, ceria dan bandar yang menjadi
contoh kepada seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini,
Selasa.
Tengku Adnan mengulas kemunkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka
cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya
(PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur
Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman
sosial Facebook.
Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat
mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka
cawangannya di Putrajaya.
Tengku Adnan berkata sebelum ini, rangkaian kedai serbaneka 24 jam,
7-Eleven yang membuka cawangannya di sini, telah mematuhi syarat-syarat
itu dengan menjadi kedai pertama tidak menjual minuman keras di negara
ini.
Beliau berkata banyak lagi pengusaha jenama terkenal lain termasuk
pengusaha taman tema dan hospital swasta berminat membuka cawangan di
Putrajaya, dan setiap permohonan itu akan dipastikan mematuhi syarat
sebelum diluluskan.
"Kita tidak mahu menolak hasrat (para pelabur), tetapi kita akan
memberitahu mereka syarat-syarat kita. Beliau (Aseh) melakukan perkara
betul dengan berbincang dengan pelabur kerana kita mahu mereka melabur
di Putrajaya. Kita tidak boleh harapkan kerajaan sahaja melabur pada
setiap masa," katanya ketika ditanya mengenai perjumpaan Aseh dengan
Syed Yusof.
Sambil meminta rakyat supaya tidak gelisah dengan perkara itu, beliau
menyelar pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan spekulasi
mengenainya.
"Tolonglah jangan putar belitkan (perkara ini)...ia tidak wajar
langsung. Saya sedih melihat apa yang berlaku, dan ini akan membentuk
generasi masa depan Malaysia. Kita tidak mahu mereka menjadi seperti
orang Barat. Kita mahu mereka mempunyai nilai-nilai Timur," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.