SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim berkata beliau optimis rundingan penyusunan semula
industri air di Selangor akan dapat diselesaikan hujung bulan ini.
"Kita dalam perbincangan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan
oleh Puncak Niaga dan pemilik saham Syabas (Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd). Kita rasa optimistik tentang penyelesaian," katanya
dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Jabatan-jabatan Kerajaan
Negeri di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Puncak
Niaga Holdings Bhd (PNHB), pemegang saham majoriti dalam dua syarikat
konsesi air di Selangor iaitu Syabas dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB)
pada 5 Dis lepas yang menerima tawaran pengambilalihan kedua-dua
syarikatnya secara prinsipnya oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB)
dengan beberapa syarat.
PNHB antaranya mahukan jumlah sumbangan ekuiti dibayar kepadanya
termasuk pulangan bercampur 15 peratus setahun, sebagai pampasan kepada
syarikat pegangan kerana kehilangan pendapatan masa depan akibat
daripada penjualan perniagaan konsesi airnya kepada kerajaan negeri
sebelum tarikh akhir konsesi masing-masing.
"Hutang yang belum dijelaskan daripada Syabas kepada PNSB pada tarikh
kuat kuasa berhubung dengan bekalan dan penjualan air kepada Syabas
perlu dibayar kepada PNHB kerana perkhidmatan ini telahpun diberikan,"
kata PNHB.
Ditanya mengenai tawaran Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat
syarikat konsesi air di Selangor pada harga RM10.7 bilion berbanding
RM9.65 bilion oleh kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata beliau akan
bertindak berpandukan maklum balas daripada Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air mengenai tawaran itu.
Empat syarikat itu ialah PNSB, Syabas, Konsortium Abbas Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash). -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.