Laksana Hukum Allah Perlu Kebenaran Kerajaan Pusat?

hudud-jangan-halang-pas
SHAH ALAM - Kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu berunding serta bertolak ansur untuk saling menyokong pelaksanaan hudud di Parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan, kata Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjelaskan bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa kelulusan dari kerajaan pusat.

“Saya ingin nyatakan bahawa undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan kerajaan pusat.

“Ini kerana undang-undang hudud melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan,” katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Beliau menyentuh soal Undang-Undang Hudud Kelantan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada tahun 1993 yang kemudiannya ditolak kerajaan pusat pada tahun 1994.

“Jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c). Hal ini pernah dibuat oleh kerajaan negeri selepas Undang-Undang Jenayah Hudud Kelantan diluluskan oleh Dun pada tahun 1993, namun ditolak oleh kerajaan pusat pada tahun 1994.

“Setelah ditolak oleh kerajaan pusat, maka habislah ikhtiar negeri untuk melaksanakan hukum ini di negerinya. Jika dilaksanakan juga, maka ini adalah bertentangan dengan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: ‘Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu’,” katanya.

Menurutnya lagi, isu hudud ini tidak perlu dibawa ke pentas ceramah oleh kerajaan negeri sebaliknya berunding dengan kerajaan pusat.

“Jadi, apa tindakan negeri jika mahu melaksanakan hudud? Negeri tidak perlu membawa hal ini ke pentas ceramah dan berterusan berjanji akan melaksanakan hukum ini. Itu omong kosong.

“Yang boleh dilakukan ialah kerajaan negeri dan pusat berunding dan bertolak ansur untuk saling menyokong hukum ini di parlimen bagi dilaksanakan di Kelantan. Maka, ini memerlukan kekuatan politik kedua-dua peringkat kerajaan.

“Jika kedua-dua peringkat kerajaan tidak boleh bertolak ansur, carilah kaedah lain. Tapi janganlah berterusan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tidak adanya kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar isu hukum hudud ini tidak terus dipolitikkan oleh semua pihak.

 “Hudud ini untuk dilaksanakan bukan untuk dipolitikkan...cukuplah politikkan isu hudud ini,” katanya.

Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.