MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengariskan
empat unsur bagi mengekalkan kestabilan dan perpaduan di negara ini
iaitu sikap toleransi, hormat menghormati, menjaga sensitiviti dan
saling mempercayai antara satu sama lain.
Beliau berkata rakyat yang mempunyai sikap toleransi akan menjurus
kepada penerimaan dan meraikan kepelbagaian kaum, adat serta budaya
masyarakat di negara ini.
Sikap saling menghormati antara satu sama lain pula, katanya akan
memberi ruang kepada setiap kaum di negara ini mengamalkan adat dan
budaya masing-masing.
"Saling menghormati antara kumpulan etnik walaupun minoriti adalah
satu nilai baik..,umpamanya kita tidak tindas masyarakat Portugis
sebaliknya memberi tempat yang baik kepada mereka di Melaka," katanya
ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Merdeka
Raya 2013 di sini, malam Jumaat.
Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri
Toh Puan Zurina Kassim, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Najib berkata rakyat juga tidak seharusnya menyentuh sensitiviti kaum
lain sebaliknya mencari jalan atau cara sewajarnya supaya tidak
menyakiti perasaan sesuatu kaum.
Beliau berkata unsur yang terakhir ialah perlunya ada sikap untuk
saling mempercayai antara satu sama lain yang membolehkan masyarakat di
negara ini hidup aman dan bahagia.
Katanya Malaysia yang menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 esok bertuah
kerana mempunyai kemerdekaan yang menjurus kepada negara maju dan
berjaya.
Justeru, Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dan mengambil
iktibar daripada sejarah agar keamanan yang dikecapi hari ini terus
berkekalan. "Kalau kita buta sejarah kita akan menjadi warga negara yang
tidak punyai jati diri yang kukuh, nilai kemerdekaan amat bermakna
bukan sahaja kita melaungkan merdeka tetapi memahami pengertian
merdeka," katanya.
Sementara itu, Najib memuji penganjuran majlis anjuran Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu
yang disifatkan berjaya memperlihatkan kebolehan menteri dan ketua
menteri yang baharu dilantik ke jawatan tersebut.
"Kedua-dua mereka ini Idris dan Mohamed Nazri baru dilantik ke
jawatan masing-masing ... malam ini antara ujian pertama bagi kedua-dua
pemimpin kita dan ini sebahagian daripada KPI (Petunjuk Prestasi Utama)
mereka, saya rumuskan kedua-dua capai KPI cemerlang," katanya.
Beliau berkata pemilihan Melaka bagi penganjuran majlis itu
bertepatan kerana negeri itu mempunyai nilai budaya dan sejarah selain
merupakan kawasan tarikan pelancong.
Katanya penganjuran majlis itu juga merupakan persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2014. -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.