IPOH: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad
Husni Hanadzlah berkata kira-kira 40 barangan keperluan asas, termasuk
tepung, beras dan gula, akan dikecualikan daripada cukai sekiranya cukai
barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.
Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dilaksanakan, dan
rang undang-undang berhubung GST dijangka dibentangkan di Parlimen tahun
depan.
"Kita sedang berbincang dengan NGO dan syarikat korporat sebelum
keputusan mengenai GST diputuskan bagi mengambil kira kesejahteraan
rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Kampung Kuang
Hilir, di sini, Sabtu.
Ahmad Husni berkata GST bukan cukai baru yang akan diperkenalkan,
sebaliknya ia menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.
"Sebanyak 170 negara telah melaksanakan GST, yang didapati lebih
efisien dan moden, dan sudah terbukti meningkatkan ekonomi negara,"
katanya.
Beliau berkata sekiranya GST dilaksanakan, pendapatan negara dijangka
meningkat yang membolehkan kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan
kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), selain menurunkan
kadar cukai korporat.
"Kita perlu lihat bagaimana hendak mengurangkan kadar cukai korporat
supaya lebih ramai pelabur datang ke sini, sekali gus dapat merancakkan
ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,"
katanya.Beliau berkata selain memberi manfaat kepada syarikat terlibat,
pelaburan juga memberi kebaikan kepada banyak pihak.
"Bila kita melaksanakan satu pelaburan, bukan syarikat sahaja yang
memperoleh keuntungan, malah pekerjanya juga akan mendapat keuntungan
menerusi kenaikan gaji. Seperti rakyat yang menerima bantuan e-kasih,
bantuan bulanan mereka juga akan meningkat," kataya.
Mengenai Perundingan Belanjawan 2014, Ahmad Husni berkata ia telah
selesai dilaksanakan, termasuk di Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.
"Sabah dan Sarawak dari segi cabaran, ialah pembangunan jangka
panjang di kedua-dua negeri itu dalam konteks ia mesti menjadi kawasan
pertumbuhan ekonomi atau pusat ekonomi, dan dengan itu infrastruktur
perlu di berikan keutamaan," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.