Agama: Sifat Malu Itu Perisai Untuk Orang Beriman

Sifat Malu Itu Perisai Untuk Orang Beriman

Allah SWT mencipta manusia dengan pelbagai sifat semula jadi yang menjadi tingkah laku seharian. Antara sifat semula jadi itu ialah malu, marah, gembira, takut dan sebagainya. Bagaimanapun, setiap perasaan itu mempunyai tahap berbeza bagi setiap orang.

Malu bertempat

Seperti sifat semula jadi lain, perasaan malu juga ada kebaikan dan keburukannya. Sebab itu kita diingatkan supaya malu secara bertempat.
Sabda Rasulullah SAW: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.” (Riwayat Baihaqi)
Ada individu yang tahap perasaan malu agak tinggi hingga sukar berkomunikasi dengan orang lain. Keadaan itu memberi kesan buruk terutama kepada mereka yang perlu berhubung dengan orang ramai untuk melaksanakan tugasan.

Islam mengaitkan perasaan malu dengan tahap keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.” (Riwayat Abu Hurairah)

Diriwayatkan Muslim dan Tirmizi, Rasulullah bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” Sudah menjadi kemestian, kita akan berasa malu apabila melakukan perbuatan menyalahi tuntutan agama, kebiasaan adat atau undang-undang.

Bagaimanapun, bagi mereka yang dikategorikan ‘muka tidak malu’ atau ‘tidak tahu malu’ akan menganggap perbuatan itu biasa saja, bahkan berasa bangga melakukannya.

Sesiapa tidak malu melakukan perkara memalukan, terbukti tahap imannya amat lemah. Dia tidak merasa malu biarpun secara terang-terang tidak mematuhi perintah Allah. Dalam dirinya terdapat sikap terlalu angkuh dan tidak kisah pandangan orang lain terhadap dirinya.

Sesungguhnya, seseorang yang di dalam dirinya dihiasi dengan perasaan malu tidak sanggup menanggung malu sesama manusia di dunia ini dan tambah-tambah lagi di hadapan Allah SWT pada hari pembalasan nanti.

Sebab itu penting bagi kita sentiasa ikhlas dalam melakukan semua perkara dalam kehidupan ini.

Usaha mengelak melakukan perbuatan memalukan bukan saja daripada pengetahuan manusia kerana jika dilakukan secara sembunyi, Allah tetap mengetahui perkara itu.

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling tinggi sifat malu. Baginda amat mengambil berat supaya tidak melakukan sebarang perkara aib. Perkara ini sesuai dengan kedudukan Baginda yang menjadi contoh kepada seluruh ummah manusia dan maksum daripada melakukan dosa.

Perisai jauhi kesalahan

Bagi orang yang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielak daripada melakukannya. Perasaan malu menjadi perisai diri daripada melakukan perkara ditegah oleh agama, undang-undang dan tatasusila kemanusiaan.

Rasulullah SAW mengumpamakan iman dan perasaan malu berada dalam satu rumpun atau seiringan yang tidak dapat dipisahkan. Sebab itu dikiaskan orang yang tidak ada perasaan malu sebenarnya tidak ada benteng keimanan dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.” (Riwayat Baihaqi)
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.