SHAH ALAM: Anggota Parlimen Shah Alam Abdul Khalid
Samad memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam gambar dan artikel yang
didakwa memalukannya diperoleh dari laman sesawang lain, dan bukan dari
blog Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman.
Abdul Khalid berkata bahan itu diperoleh dari www.archive.org, sebuah
laman sesawang yang menyimpan rekod blog yang dimansuh atau
dihilangkan.
Beliau selaku plaintif dan saksi pertama berkata demikian pada
perbicaraan kes saman terhadap Hamidah, yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri Sungai Rapat, Perak di depan Hakim Datuk Hashim Hamzah.
Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor itu memfailkan saman terhadap
Hamidah dua tahun lepas berhubung penyiarangambar 'superimpose' beliau
yang disiar blog defendan pada Januari 2010.
Penyataan tuntutan Abdul Khalid, yang difail pada 23 Dis 2011,
mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang
paderi Kristian dan seorang yang murtad.
Terdahulu, peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili defendan,
mempersoal keaslian dan sumber laman sesawang digunakan plaintif dalam
samannya.
Hafarizam berkata writ saman Abdul Khalid mendakwa artikel memalukan
itu tertera di laman sesawang hamidahosman.blogspot.com namun dokumen
yang dikemuka kepada mahkamah dalam kes berkenaan diperoleh dari
www.archive.org.
Katanya, beliau menggunakan www.archive.org untuk mendapatkan artikel itu selepas laman blog defendan tidak aktif.
Abdul Khalid, yang diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, berkata
artikel itu die-mel oleh seseorang yang menjadi rujukannya dalam soal
Internet dan beliau bukanlah pelanggan laman sesawang berkenaan.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Hafarizam bahawa terdapat
perbezaan antara artikel yang diambil dari laman
hamidahosman.blogspot.com dan yang diperoleh dari www.archive.org.
Menyentuh artikel yang disiar di laman blognya pada 4 Januari 2010,
Abdul Khalid berkata beliau menulis 'adalah diharuskan atau dibolehkan
kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam kerana kalimah itu telah
digunakan oleh orang-orang Arab di Mekah sejak zaman jahiliah'.
Beliau juga bersetuju dengan cadangan Hafarizam bahawa artikel itu
(kalimah Allah boleh diguna oleh bukan Islam) mendapat bantahan serta
komen pembaca blognya.-BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.