JOHOR BARU: Penyandang kerusi Parlimen Pasir
Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berazam untuk menggunakan
pengalamannya selama tiga penggal di peringkat persekutuan sebelum ini
untuk membantu menjayakan pembangunan negeri Johor.
Beliau yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Permas berkata, segala pengalaman itu amat berguna untuk beliau
menyambung transformasi yang telah dialami oleh negeri Johor terutama
dari segi pembangunan dan ekonomi.
"Pembangunan di Johor kini berada di landasan yang terbaik dengan
projek pembangunan Iskandar Malaysia yang perlu diteruskan untuk
memakmurkan lagi negara ini.
"Dengan pengumuman ini (bertanding di DUN Permas), saya tidak lagi
menjadi menteri persekutuan, namun saya harap dengan pengalaman yang ada
selama tiga penggal di persekutuan sebelum ini dapat saya gunakan untuk
membangunkan Johor," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian kepada
pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Manifesto Barisan
Nasional Johor dan pengumuman calon BN di sini Selasa.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh Setiausaha Kerja BN Johor Ramli Bohani.
Ketika diminta mengulas keputusan beliau bertanding di Permas yang
sebelum ini merupakan kerusi milik MIC, Mohamed Khaled berkata, masih
banyak misi yang ingin beliau jayakan di kawasan itu.
"Sebelum ini saya di Pasir Gudang dan biarlah kali ini, saya masih
tetap berkhidmat di situ kerana Permas merupakan salah satu daripada dua
kerusi DU Nyang berada di Parlimen itu.
"Ada banyak kerja lagi yang masih perlu dilakukan," katanya.
Mohamed Khaled, 55, disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor
menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang meninggalkan DUN Serom dan
bertanding di Parlimen Gelang Patah untuk menentang Penasihat DAP Lim
Kit Siang.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya
(1999-2004)Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004-2008), dan
dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 sehingga kini. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.