PUTRAJAYA: Kalangan artis dan penggiat seni tanah air yang
memenuhi dewan utama Sri Perdana di sini pada Rabu bersorak kerana
menyambut baik beberapa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang menyerlahkan perhatian khusus pemimpin nombor satu terhadap
kebajikan mereka.
Pada Majlis Ramah Mesra bersama Ikon dan Persatuan Seni Budaya Tanah
Air pada Rabu, Perdana Menteri antara lain mengumumkan keputusan
kerajaan untuk membangunkan satu model pembiayaan pemilikan rumah buat
penggiat seni tanah air di samping pemberian Kad Diskaun 1Malaysia buat
mereka.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Presiden Persatuan Seniman
Malaysiaiaitu Zed Zaidi dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri
kira-kira 1,000 tetamu itu, membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan
kebajikan para penggiat seni.
Zed Zaidi yang ditemui selepas majlis itu menyuarakan rasa lega
kerana berjaya menyampaikan sendiri segala masalah yang dihadapi
kalangan artis dan penggiat seni kepada Perdana Menteri.
Menurutnya ia adalah antara perkara-perkara yang diperjuangkan oleh
persatuan anak-anak seni dalam negara dan keprihatinan Perdana Menteri
terhadap keperluan mereka, cukup menggembirakan.
Beliau berkata apa yang diumumkan oleh Najib pada Rabu seperti model
pembiayaan rumah, dana pembangunan seni kreatif, kad diskaun dan
sebagainya, sememangnya merupakan sesuatu yang amat diperlukan untuk
golongan penggiat seni dalam negara.
Sementara itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk
Freddie Fernandez pula melahirkan rasa terharu dengan perhatian yang
diberikan oleh Perdana Menteri terhadap golongan penggiat seni tanah
air.
"Kami terharu dan bersyukur kerana dapat perhatian Perdana Menteri
dalam semua aspek industri yang perlu ditingkatkan serta dikemas kini,
dan saya ucapkan terima kasih kepada beliau atas keprihatinannya,"
katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri merupakan seorang pemimpin yang sangat mengambil perhatian terhadap soal industri seni negara. -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.