Lidah paling banyak lakukan kesalahan jika tidak dikawal
Manusia dianugerahkan dengan kesempurnaan anggota tubuh badan oleh Allah SWT sebagai satu nikmat. Sudah tentu anugerah ini mempunyai nilai tertentu dan semestinya ia dipelihara dengan sebaiknya.
Antara anugerah yang besar ialah lidah. Namun, dalam keghairahan kita lupa batas agama serta dosa dan pahala sehingga sanggup menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah.
Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita palsu, dokumen palsu dan disebarkan melalui internet serta media sosial hanya semata-mata untuk mencapai kemenangan. Sebagai seorang Islam yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat, kita hendaklah menjaga akhlak dan adab ketika berkempen.
Niat tak boleh halalkan cara
Ingatlah, niat tidak boleh menghalalkan cara seperti firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Bagi mendepani kempen secara berhikmah, beberapa prinsip perlu ada pada diri seorang Islam antaranya janganlah berkomunikasi dengan cara merendahkan dan mencaci maki orang lain, kerana Allah SWT lebih mengetahui siapa yang lebih baik antara kita.
Kedua, jangan mendedahkan keaiban atau menyebarkan keburukan seseorang atas alasan demi kebenaran kerana perkara ini tidak dianjurkan oleh agama, malah Allah SWT menempelak golongan yang suka mendedahkan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW: “Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)
Jangan beri gelaran buruk
Ketiga, janganlah menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk terutama sesama umat Islam kerana ia boleh mendatangkan dosa dan membawa kepada kefasikan.
Keempat, jauhilah daripada berprasangka buruk kerana ia mendatangkan dosa, seandainya sesuatu berita itu sampai kepada kita, maka hendaklah ia disemak terlebih dulu kesahihannya. Janganlah kita menjadi ejen penyebar fitnah dan berita palsu kepada masyarakat.
Kelima, janganlah mengintip dan mencari kesalahan orang lain. Ingatlah, Islam menyuruh mencegah kemungkaran seiring suruhan melakukan kebaikan. Keenam, menjaga lidah dan tutur bicara supaya tidak mendatangkan kemarahan orang lain. Tutur bicara di dunia akan dibentangkan di akhirat.
Firman Allah SWT: “Dan Kitab-kitab amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)
Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya. Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya: “Sesungguhnya ia termasuk ahli neraka. Kemudian lelaki itu berkata lagi: Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya. Maka Rasulullah SAW berkata: Sungguh ia termasuk ahli syurga.” (Riwayat Muslim)
Bahaya lidah
Hadis ini memberi pengajaran mengenai bahayanya lidah yang boleh menjerumuskan kita ke dalam neraka. Ingatlah, walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat dan puasa akan tetapi apabila ia tidak mampu menjaga lidahnya daripada memfitnah atau berbohong, rosaklah amalannya.
Dalam banyak-banyak anggota, lidah yang paling banyak kesalahan membabitkan sesama manusia. Kenapa lidah mudah untuk melakukan kesalahan dan mendatangkan dosa?
Imam al-Ghazali pernah berkata, menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.
Katanya lagi, “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh menghumban kita ke neraka.
Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara sia-sia. Sabda Rasulullah SAW: “Siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.