Lahad Datu: Serangan Ofensif Terhadap Pengganas, Malaysia Di Landasan Benar

lahad-datu-malaysia-benar

TAWAU: Malaysia berada di landasan yang benar apabila melakukan serangan ofensif terhadap pengganas Sulu demi kedaulatan negara selepas insiden pencerobohan itu meragut nyawa anggota pasukan keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Percayalah apa yang kita lakukan ini adalah benar dan satu kebenaran...itu yang saya boleh katakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan jurucakap Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu', Abraham Idjirani, kononnya Malaysia melanggar Konvensyen Geneva berhubung cara Malaysia menangani insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu.

Hishammuddin berkata kehilangan nyawa anggota pasukan keselamatan negara tidak berbaloi dengan 'tuduhan' itu kerana Malaysia melakukannya demi negara tercinta.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada kepakaran Peguam Negara untuk mengkaji dakwaan Jamalul Kiram itu daripada segi perundangan.

Mengenai Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), Hishammuddin berkata semua pihak terlibat sedang bekerja keras untuk merealisasikan perkara itu dan perkembangannya sedang dipantau rapi.

Katanya tiada sebab untuk perkara itu tidak dapat dilaksanakan walaupun menyedari hakikat bahawa kawasan ESSCOM melibatkan kawasan pantai sepanjang lebih 1,400 kilometer untuk dikawal. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

2 comments:

  1. MOGA ESSCOM BERJAYA MENCAPAI MATLAMAT SEPERTI RASCOM DI ZAMAN KOMUNIS..

    BalasPadam
  2. Sama2 kita doakan yang terbaik buat negara yang kita cintai ini..

    BalasPadam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.