KUALA LUMPUR: Wisma Putra akan memanggil Duta
Besar Jerman ke Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung penyaluran
dana kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia merasa kurang
senang dengan tindakan Kedutaan Jerman itu menyalurkan dana kepada NGO
yang diketahui mempunyai agenda politik tertentu.
"Tindakan Kedutaan Jerman ini boleh disalahtafsir sebagai mencampuri
urusan dalaman sebuah negara berdaulat," katanya dalam satu kenyataan di
sini Khamis.
Semalam, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Guenter Georg Gruber
mengaku kedutaan itu menyalurkan dana kepada syarikat berkenaan bagi
membiayai inisiatif-inisiatif projek spesifik.
Anifah berkata Malaysia juga amat kecewa dengan penglibatan Kedutaan
Jerman dalam aktiviti yang menunjukkan kecenderungan mereka terhadap
sesetengah isu yang mempunyai implikasi ke atas situasi domestik
Malaysia kerana kedua-dua negara itu adalah rakan dua hala penting dan
mempunyai hubungan mesra serta kerjasama erat dalam pelbagai bidang.
"Kedutaan-kedutaan asing seharusnya peka terhadap sensitiviti di
negara tuan rumah dan bagaimana hubungan yang baik dapat dijalin dan
dikekalkan," katanya.
Sementara itu, siasatan awal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
mendapati wujud transaksi dana antara Suara Inisiatif, yang didaftar di
bawah Akta Syarikat 1965 dan Suaram.
SSM turut dikritik beberapa NGO atas dakwaan gagal bertindak terhadap
Suaram, yang antara lain mengaku menerima dana dari negara-negara asing
berikutan laporan bahawa Suaram bukan sebuah NGO tetapi sebuah
syarikat, iaitu Suara Inisiatif Sdn Bhd. - BERNAMA

0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.