Isteri Didenda RM2000 Kerana Cederakan Suami


PETALING JAYA: Gara-gara menumbuk dan membaling serbuk cili ke mata suami, seorang ahli perniagaan wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret K.B.Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Rasidah Rahmathullah, 39, bersalah mencederakan Mohamed Nasser Abdul Razak, 42, yang kini bekas suami wanita itu.

Elena berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Rasidah didakwa mencederakan Mohamed Nasser, seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di sebuah jabatan kerajaan, dengan menumbuk dan menampar muka serta membaling serbuk cilidi kediaman mereka di Jalan USJ 1/4F, Subang Jaya, dekat sini, pada jam 3 petang, 19 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar.

Rasidah kemudian menjelaskan denda itu.

Dalam pada itu, mengikut rekod mahkamah, Mohamed Nasser pernah didakwa atas tuduhan menggigit bahu Rasidah pada masa dan tempat yang sama, di Mahkamah Majistret Tiga di sini.

Dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan ia kini masih dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Unknown

2 comments:

  1. lebih banyak kes suami mendera isteri samada secara fizikal & mental tapi isteri tak bawa kes ke mahkamah & perkara berulang2....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apa yg isteri takutkan sebabnarnya?

      Padam

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.