Antibiotik Punca Bayi Jadi Gemuk

Bayi yang diberi antibiotik terlalu awal berdepan risiko mengalami berat badan berlebihan.

Pemberian ketika kecil bunuh bakteria baik dalam usus

New York: Amalan memberi ubat antibiotik kepada bayi sebelum berusia enam bulan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah berat badan berlebihan, lapor satu kajian terbaru.

“Kita biasanya menganggap, kegemukan atau obesiti berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam, bagaimanapun semakin banyak kajian yang dijalankan menunjukkan keadaan sebenarnya lebih rumit.

Usia kanak-kanak ketika mereka diberi antibiotik juga mempunyai kesan” - Leonardo Transande, Penyelidik

“Mikrob di dalam usus memainkan peranan penting untuk menentukan bagaimana kalori diserap dan pendedahan kepada antibiotik sejak awal usia boleh membunuh bakteria baik yang mempengaruhi penyerapan zat makanan ke dalam badan kita,” kata penyelidik Leonardo Transande dari Sekolah Perubatan Universiti New York.

Hasil kajian pertama pernah dilakukan dan disiarkan dalam Journal of Obesity ini juga memberi amaran bahaya yang mungkin diwujudkan dengan pemberian antibiotik dikalangan kanak-kanak.

Ubah sel mikrob

Transande berkata, kajian awal membuktikan kaitan antara pemberian antibiotik dengan perubahan berbilion-bilion sel mikrob di dalam badan hingga menyebabkan obesiti, masalah pembengkakan usus, asma dan pelbagai masalah kesihatan lain. Bagaimanapun bukti kaitan secara langsung kesan antibiotik ini belum ditemui dan kajian masih diteruskan.

Penyelidikan membabitkan penilaian penggunaan bahan antibiotik dikalangan 11,532 kanak-kanak dilahirkan di wilayah Avon, Britain dari 1991 hingga 1992 yang mengambil bahagian dalam kajian jangka panjang mengenai kesihatan.

Kajian itu mendapati, bayi yang menerima rawatan antibiotik dalam tempoh lima bulan pertama kehidupan mereka mempunyai berat badan yang berlebihan berbanding kanak-kanak yang tidak didedahkan dengan ubat berkenaan.

“Perbezaannya agak kecil bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 20 bulan. Bagaimanapun apabila usia mereka mencapai 38 bulan, kanak-kanak yang menerima rawatan antibiotik mempunyai 22 peratus kemungkinan untuk mengalami masalah berat badan berlebihan.

Usia beri kesan

“Usia kanak-kanak ketika mereka diberi antibiotik juga mempunyai kesan. Mereka yang menerima rawatan antibiotik pada usia enam hingga 14 bulan, tidak menunjukkan tanda ketara indeks tubuh lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik di universiti yang sama, Jan Blustein berkata, sejak sekian lama penternak lembu mengetahui antibiotik mempunyai pengaruh besar bagi menghasilkan lembu yang lebih berat untuk pasaran.

“Walaupun kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini, penyelidikan terperinci setakat ini membuktikan antibiotik mempunyai pengaruh besar kepada peningkatan berat badan kanak-kanak dan dewasa,” katanya. - Agensi - Berita Harian
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.