SYABAS Tiada Pilihan Selagi MB Terus Dengan Egonya Dalam Isu Air Selangor

Kegagalan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah rizab air di Selangor, menyebabkan catuan bekalan air mula dilaksanakan di beberapa tempat di Lembah Klang.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, kerajaan Selangor yang diterajui PKR sepatutnya memberi kelulusan bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2 kerana catuan air yang dilaksanakan hanya merupakan kaedah penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi kekurangan bekalan air.

"Dalam hal ini, Syabas tidak ada pilihan, selain melakukan catuan air untuk mengatasi gangguan bekalan air berikutan kadar rizab yang rendah di Selangor.

"Oleh itu, beliau (Abdul Khalid) tidak patut menyimpang daripada isu pokok dan menipu rakyat Selangor dengan berkata bekalan air masih mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di Bukit Changgang, dekat sini hari ini.
Mohd Zin berkata, kekurangan bekalan air akan berlaku selagi kerajaan negeri tidak menambah rizab air yang dirawat kepada standard industri sebanyak 20 peratus atau pada kadar penimbal lebih selesa sebanyak 10 peratus.

"Kadar penimbal yang mencukupi perlu ada untuk menangani keadaan naik turun bekalan pada musim panas," katanya.

Mohd Zin berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua pegawai eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan bahawa Syabas akan memohon kebenaran untuk memulakan catuan bekalan air dengan serta-merta di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan kekurangan bekalan air yang semakin serius.

Ruslan dilaporkan berkata Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang mengalami krisis air apabila paras rizab di 34 loji rawatan menurun kepada purata dua peratus, jauh di bawah 'paras selamat' sekurang-kurangnya 20 peratus.

Mohd Zin berkata, lebih 30 peratus panggilan yang diterima hotline yang dikendalikan Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) adalah berkaitan isu air yang dihadapi mereka yang tinggal di kawasan berbukit.

PDK berkenaan, yang menempatkan 32 orang kurang upaya berusia antara tiga bulan dan 40 tahun, mula beroperasi pada 2003 dengan peruntukan awal RM100,000.

Pada majlis itu, Mohd Zin, yang juga Ahli Perlimen Sepang, mengumumkan pemberian peruntukan RM50,000 kepada PDK berkenaan untuk membiayai kerja pembesaran bangunannya. - Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.