KOTA BARU: Qari Perak, Anuar Hasin dan qariah
Pahang, Hanimzah Jalaluddin dinobat sebagai johan Majlis Tilawah
Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Dewan Balai
Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini.
Masing-masing membawa pulang sebuah kereta Proton Preve, yang
merupakan hadiah tambahan tajaan Tabung Haji pada tahun ini, selain wang
tunai RM15,000 beserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Anuar memperoleh 92.33 peratus markah manakala Hanimzah mendapat 88.34 peratus.
Mereka akan mewakili negara pada Tilawah Al-Quran Peringkat
Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 Jun hingga 6
Julai ini.
Sementara itu, qari Negeri Sembilan Amirahman Abas yang mengutip
89.67 peratus markah muncul naib johan manakala tempat ketiga milik qari
Terengganu Mohamad Hafas Ali yang mendapat 86.67 peratus.
Naib johan qariah pula disandang peserta Johor Nor Azrah Ayub yang
memperoleh 86.00 peratus markah manakala tempat ketiga milik qariah
Kedah Marzian Mohd Deli (84.34 peratus).
Bagi naib johan qari dan qariah, masing-masing menerima wang tunai
RM10,000 beserta cenderamata dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga
membawa pulang RM7,000 selain cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah saguhati berupa wang tunai RM3,000 beserta cenderamata dan sijil penyertaan diberi kepada semua peserta.
Hadiah disampaikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Turut hadir
Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail
Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Seramai 14 qari dan 15 qariah memperdengar bacaan masing-masing pada tilawah yang berlangsung lima hari sejak Isnin lepas. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.