JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan
para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan
pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong
kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung
proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah
menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan
terpelajar juga turut mempercayainya.
"Sampai hari ini belum ada bukti pun bahawa kononnya kita bawa 40,000
warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang
amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.
"Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada
orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa
sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan
dan rasional yang tak boleh fikir soal ini," katanya semasa berucap pada
majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia
di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan,
di sini, Ahad.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta
Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan
dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.
Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu
beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas
PRU13.
Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir
secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa
40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia
memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal
dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat
mengundi pada hari mengundi.
Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan
BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana
ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga
Malaysia.
"Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud
penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah
berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.
Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi
penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara
sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan
pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang
lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus
perdana.
"Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi
kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah
sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh
kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.
"Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi," katanya.
Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini
bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa
pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.
"Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan
Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan
diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya.
Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual
stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana
beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat
integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam
walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik
iaitu kira-kira AS$18 bilion.
Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.
"Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan
kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi,
maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan
dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih
kukuh," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.