BAGAN SERAI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu
pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa
pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga
sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.
"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan
melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan
Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini
tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita
yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan
pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) di sini, Ahad.
Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai
daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan
menjadi mangsa.
Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu
sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap
pada masa depan.
Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan
berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap
pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat
bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa
pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita
ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang
sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan
serangan pada masa depan," katanya.
Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi
kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak
terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai
dua bahagian keselamatan.
"Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari
luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di
dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap
pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam
wilayah kita," katanya.
Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang
dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk memgambil
bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.
Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat 'berlembut'
dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan
tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga
mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah.
"Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun
mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa,
tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota polis
kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan
dengan rundingan," katanya.
Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke
Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr
Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah
termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya.
-BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.