Elak Ketawa Berlebihan Hingga Lupa Diri

ketawa-berlebihan

Manusia mempunyai naluri atau perasaan yang sentiasa dizahirkan secara spontan berdasarkan situasi atau kejadian. Marah, sedih, gembira, ketawa dan diam silih bertukar dalam diri manusia normal.

Sesiapa yang tidak mengalami perasaan itu bermakna hatinya telah mati dan tidak dapat membezakan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Ketawa adalah adalah gambaran hati seseorang berasa gembira dan suka. Biasanya ketawa dizahirkan dengan suara terkekeh-kekeh dengan bunyi kuat. Perbuatan itu secara spontan apabila melihat atau mendengar sesuatu melucukan dan menghiburkan.
Umar al-Khattab berkata: “Seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takut kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, akan kuranglah taatnya kepada Allah.”
Ketawa dianggap penyeri dalam kehidupan bagi menceriakan suasana dingin dan membosankan. Ketawa juga mengeratkan perhubungan sesama manusia. Malah sesuatu yang amat bermakna jika kita dapat membuat orang lain ketawa.

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya hati akan merasa jemu dan bosan seperti mana badan merasa letih dan lesu, oleh itu rehatkanlah mereka dengan hikmah dan kebijaksanaan. Berikanlah ruang untuknya bagi mengembalikan keceriaan.”

Gelak ketawa diharuskan dalam Islam kerana ia sifat semula jadi dalam diri manusia. Ketawa dianggap sebagai terapi minda untuk mewujudkan suasana gembira dan ceria. Terdapat ungkapan menyebut ‘ketawa itu penawar duka’.

Seperti juga perbuatan lain, Islam menegah jika dilakukan secara keterlaluan. Kita sering diingatkan supaya tidak ‘ketawa hingga lupa diri’.

Rugi di akhirat

Allah SWT memberi peringatan bahawa sikap mereka yang tidak mahu berjuang di jalan Allah SWT sebenarnya hanya beroleh sedikit kegembiraan (mereka ketawa), sedangkan menanggung kerugian di akhirat.

Allah SWT berfirman: “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.” (Surah at-Taubah, ayat 82)

Hakikat bahawa ketawa itu penawar duka yang mujarab sukar ditolak, kerana secara logik pada saat seseorang sedang ketawa tidak mungkin pada masa sama mereka memikirkan perkara menyedihkan. Kegembiraan akan menghilangkan tekanan mental dan membantu meningkatkan kesihatan diri. Kita perlu berhati-hati dalam usaha mewujudkan suasana gembira. Perkara utama ialah jangan menyebabkan hati orang lain terguris atau berduka akibat perbuatan itu. Islam tidak membenarkan kita merasai kegembiraan atas kedukaan orang lain.

Tidak adil dan zalim kita berusaha mencipta kegembiraan dengan menyebabkan orang lain berduka. Islam menegah kaedah matlamat menghalalkan cara. Mereka yang mencipta kegembiraan atas kesengsaraan orang lain sebenarnya tidak taat kepada Allah SWT yang melarang perbuatan itu.

Umar al-Khattab berkata: “Seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takut kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, akan kuranglah taatnya kepada Allah.”

Elak ketawa berlebihan

Antara amalan biasa mencetuskan derai tawa ialah mentertawakan kekurangan atau sifat orang lain. Gelaran memalukan dan ejekan sering dijadikan bahan untuk bergelak tawa dalam masyarakat kita.

Perbuatan itu menjatuhkan maruah orang yang dijadikan bahan ejekan. Lebih menyedihkan apabila perkara itu dijadikan bahan cerita yang disebarkan kepada orang ramai untuk dijadikan bahan gelak ketawa.

Sabda Rasulullah SAW: “Celakalah mereka yang berbicara untuk diketawakan orang ramai sedangkan apa yang dibicarakan adalah dusta semata-mata.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam masyarakat berbilang kaum seperti negara kita, kata-kata dan perbuatan membabitkan kaum perlu dijaga untuk mengelak perkara buruk. Kita ditegah mempermainkan kaum lain berdasarkan gelaran, ungkapan dan amalan mereka. Perbuatan itu boleh mencetuskan permusuhan dan saling melakukan penghinaan.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum lain kerana mungkin mereka adalah lebih baik daripada kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sesungguhnya kita diingatkan supaya berhati-hati dan bersederhana dalam ketawa. Jangan ketawa keterlaluan sehingga memberi ruang untuk syaitan menimbulkan perasaan tidak baik. Saidina Ali menyebut: “Bersenda yang keterlaluan adalah dorongan nafsu dan akan mendapat bantuan daripada syaitan.”
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.