KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina telah menghantar
sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180
anggota, termasuk 30 pengawal bersenjata, yang bertahan di Lahad Datu,
Sabah sejak 12 Februari.
Kapal yang bernombor AT296, belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke
perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara
rundingan dengan kumpulan itu berlangsung malam Ahad.
Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina dalam satu kenyataan berkata
pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada
Kedutaan Malaysia di Manila, Sabtu.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario dalam satu
kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah mereka dan
keluarga, "sekalipun pada masa yang sama kami sedang berusaha
menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan".
"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat
tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan
itu, dan kami menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah
air.
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin
Islam-Filipino, serta sukarelawan dan petugas perubatan. Pada 12 Feb,
bot yang mengangkut lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian
celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Tentera Diraja
Sultan Sulu, dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke
Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas, dan
Kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas (22 Feb)
untuk meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas
kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan
Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian
mereka. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.