KUALA LUMPUR - Amaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengenai demonstrasi ala "Arab Spring" di Malaysia perlu diambil serius berikutan obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyatakan beliau tahu akan kapasiti Anwar untuk melakukan huru-hara,
bekas Perdana Menteri berkata, Anwar telah membuktikan dirinya sebagai
"juara" demonstrasi di masa lalu.
Dr Mahathir berkata, semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran pada 1974,
Anwar telah menganjurkan demonstrasi pelajar mendakwa kebuluran telah
menyebabkan kematian seorang budak lelaki di Baling, Kedah; tetapi tiada
demonstrasi serius selama 16 tahun apabila Ketua Umum PKR itu menyertai
kerajaan.
"Sebaik sahaja beliau keluar daripada kerajaan, terdapat demonstrasi
setiap minggu. Obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri akan
mendorong beliau mewujudkan "Arab Spring" supaya cita-citanya menjadi
kenyataan.
"Bagi dirinya, beliau tidak peduli sekiranya kestabilan dan ekonomi
negara terjejas teruk asalkan beliau dapat menjadi perdana menteri,"
kata Dr Mahathir dalam entri terbaharu dalam blog beliau bertajuk 'Janji
Anwar' di www.chedet.cc hari ini.
Entri terbaru itu ditulis sebagai respons kepada janji Anwar untuk
mengatur "Arab Spring" di Malaysia seperti dilaporkan di Australia.
Dr Mahathir berkata, Anwar akan menganjurkan demonstrasi melibatkan
ratusan ribu orang -- sepertimana dilakukannya pada demonstrasi 'Bersih'
-- bagi menjatuhkan kerajaan sekiranya beliau kalah dalam pilihan raya
umum akan datang.
Memberikan perspektif lebih jelas, Dr Mahathir berkata Anwar telah
menganjurkan demonstrasi setiap Sabtu apabila beliau dipecat daripada
jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang telah menjejaskan
perniagaan di Kuala Lumpur berikutan orang ramai mengelak daripada pergi
ke ibu kota.
"Anwar tahu akan impak teruk daripada demonstrasi besar-besaran yang
beliau anjurkan itu terhadap ekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia mungkin
dapat didesak untuk mengundi partinya bagi mengelakkan ekonomi mereka
terjejas oleh demonstrasi.
"Adalah amat menyedihkan bagi Malaysia jika ugutan sebegini dibuat untuk memenangi pilihan raya," katanya. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.