SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) perlu memenangi majoriti dua
pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti sekiranya mahu
kembali menjadi sebuah kerajaan yang berwibawa dan kuat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegagalan BN
untuk membentuk kerajaan dengan majoriti selesa akan mendatangkan lebih
banyak masalah terutama bagi menghadapi tekanan politik untuk
membangunkan negara.
"Ini soal kuat dengan lemah, bila kita kuat orang tak berani cabar kita.
"Saya dulu, bila orang kasar sangat, kita 'bagilah' (bertindak). Dulu
kita kuat, kita ada majoriti dua pertiga. Lebih penting orang tahu
bahawa kelompok majoriti menyokong kita," katanya ketika program Bicara
Minda bertajuk 'Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU-13' di Kompleks
Media Karangkraf di sini, Khamis.
Tegas Mahathir, BN akan terus dianggap sebagai kerajaan yang lemah jika gagal mengembalikan majoriti dua pertiga.
"Bila PRU nanti katalah merosot lagi...kalau pun menang, ia adalah empty victory (kemenangan tidak bermakna)," katanya.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, sebagai sebuah negara membangun, Malaysia memerlukan pemimpin dan kerajaan yang berani.
"Kalau nak perintah negara, saya berpendapat negara membangun seperti Malaysia perlu kepada kerajaan yang berwibawa dan kuat.
"Pemimpin kenalah berani sikit...kalau pemimpin pun penakut maka habislah," katanya lagi.
Tambah Mahathir, kerajaan yang lemah tanpa kemenangan majoriti
dilihat lebih takut untuk berhadapan dengan rakyat terutama dalam sistem
demokrasi.
"Bila kerajaan lemah memang takut terutama dalam demokrasi kerana
kalau bertindak salah mungkin kita akan kalah lagi dan hilang kuasa
terus.
"Sebab itu kalau kita lihat (sekarang), kita tak berani bertindak
gunakan kekerasan bahkan kita hapuskan segala kuasa yang ada pada kita
seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
"Apa yang kita malu sangat dengan ISA ni? AS (Amerika Syarikat) bila
kena serang oleh 'penganas' dia tangkap tanpa undang-undang...lebih
teruk daripada kita," tegas Dr Mahathir.
Mengulas sama ada nasib orang Melayu dan agama Islam akan terus
terpelihara sekiranya kaum bukan Melayu daripada pelbagai parti menang
majoriti di Parlimen, Mahathir berkata ia tidak memberi jaminan kepada
masa depan kaum Melayu.
Mengambil contoh pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP baru-baru
ini, Dr Mahathir berkata, parti itu gagal membuktikan bahawa mereka
merupakan parti pelbagai bangsa apabila tidak memberi peluang kepada
orang Melayu menduduki jawatan di peringkat Pusat.
"DAP kata mereka parti berbilang kaum. Tapi bila pemilihan, mereka tak beri sedikit pertimbangan pun kepada kaum lain.
"Walaupun kenyataan mereka nampak bertimbang rasa (berbilang kaum),
tapi hakikatnya bila mereka berkuasa, berkemungkinan ini (pinggirkan
kaum lain) akan terjadi," katanya.
Sumber: Mstar
0 comments:
Catat Ulasan
Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.
Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.