Tabiat Suka Menabur Fitnah Punca Ummah Berpecah Belah


Elak buruk sangka, hasad dengki demi kepentingan diri

Sejarah kejatuhan empayar dan pemerintahan Islam berpunca angkara fitnah. Hakikat ini memberi gambaran bahayanya angkara fitnah. Malangnya, perbuatan suka memfitnah masih berleluasa dan akibatnya merosakkan masyarakat serta negara.
Lebih menyedihkan apabila orang yang memfitnah diberi perhatian, sementara yang difitnah pula mendapat kutukan. Kebelakangan ini, fitnah digunakan sebagai cara untuk mengalih perhatian pihak tertentu daripada perkara yang sedang menjadi perbualan ramai.
Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." Surah al-Baqarah, ayat 191
Bahaya fitnah diingatkan Allah SWT dalam firman-Nya: “Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 191)

Angkara fitnah menyebabkan penderitaan kepada banyak pihak dan mungkin mencetuskan peperangan menyebabkan puluhan nyawa terkorban. Umat Islam patut mengambil pengajaran kesan buruk yang berlaku disebabkan fitnah dilemparkan.

Kematian Uthman bin Affan berpunca daripada fitnah disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama. Peristiwa itu membawa kepada beberapa siri peperangan sesama Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Ali.

Kejatuhan empayar besar

Akibat fitnah juga telah meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah dan Abasiyah. Sejarah kejatuhan empayar besar Kerajaan Melayu Melaka juga disebabkan akibat fitnah. Bahkan, hancurnya kuasa Saddam Hussin di Iraq juga dikaitkan dengan fitnah.

Sejarah sama boleh berulang. Bangsa yang lupa pada sejarah akan mengulangi kesalahan sama. Perkara ini perlu diberi perhatian tambahan pula dengan adanya pelbagai kaedah penyebaran komunikasi memudahkan fitnah tersebar luas.

Oleh itu, kita perlu bijak menapis berita atau perkara disampaikan bagi mengelak terpengaruh dengan aktiviti menyebarkan berita berunsur fitnah tanpa disedari. Jika tidak pasti dengan berita disampaikan, sebaiknya dapatkan pengesahan atau jangan pula kita menyebarkannya.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita maka periksalah dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Hakikatnya, fitnah tidak mendatangkan kebaikan kepada orang yang mencipta dan menyebarkan fitnah. Namun, kesan buruknya adalah jelas kepada pihak yang difitnah, lebih malang jika dia tidak menyedari dirinya difitnah.

Firman Allah SWT: “Takutilah oleh kamu fitnah yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).” (Surah al-Anfal, ayat 25)

Fitnah punca huru-hara

Fikirkan apa yang akan berlaku kepada negara serta rakyat jika berlaku keadaan huru-hara yang berpunca daripada fitnah. Akhirnya, rakyat yang akan menerima padahnya.

Rasa tidak puas hati atau bantahan sepatutnya disalurkan melalui kaedah disediakan. Begitu juga dengan pemilihan pucuk pimpinan negara, boleh dibuat melalui saluran undang-undang kerana konsep demokrasi memberi hak sepenuhnya kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Sabda Rasulullah SAW: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demi keutuhan negara, soal fitnah yang sedang bermaharajalela wajib ditentang. Jangan biarkan ia berlarutan mempengaruhi masyarakat hingga menimbulkan huru-hara atau rusuhan yang boleh menjatuhkan kerajaan.

Perpecahan sesama sendiri menyebabkan ummah menjadi lemah. Keadaan itu menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan untuk menguasai umat Islam.

Allah SWT memberi amaran dalam firman-Nya: “Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.” (Surah al-Anfal ayat 46)

Kepentingan agama mesti dilihat lebih penting berbanding kepentingan peribadi. Seluruh umat Islam perlu bersatu.

Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Catat Ulasan

Pihak JERING DAILY tidak akan bertanggungjawab terhadap setiap pandangan atau komen yang diutarakan melalui laman portal ini. Ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian kami selaku pengendali portal.

Sila guna bahasa dan perkataan yang sopan ketika menulis komen atau meluahkan pendapat kerana setiap komentar yang diutarakan itu mencerminkan keperibadian diri anda sendiri. Terima kasih.